KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah membuat keputusan bijak dengan memuktamadkan untuk meletakkan calon dari MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng bertanding pada pilihan raya kecil Tanjung Piai pada 16 November lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa hari ini mengimbas semula bagaimana parti itu dan BN khususnya berdepan dengan kesukaran dalam membuat keputusan memilih calon terutama ketika kuatnya situasi desakan mahukan calon dari UMNO diberi peluang bertanding.
“Pada 30 Oktober lalu, sebelum pengumuman calon untuk PRK Tanjung Piai, saya ada menulis dalam Facebook saya dengan tajuk “misi dan mesej dari penghujung benua”.
“Saya cuba melakarkan dalam tulisan itu betapa sukarnya membuat keputusan memilih calon terutama dalam situasi kuatnya desakan mahukan calon dari UMNO diberi peluang bertanding.
“Setelah diputuskan bahawa calon BN adalah dari MCA, saya ditugaskan membawa berita itu kepada pimpinan akar umbi di Tanjung Piai. Ramai tidak mengetahui apa yang saya lalui malam itu dan bagaimana saya terpaksa membendung kekecewaan mereka beberapa ketika,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.
Pada PRK itu, Dr. Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi mengalahkan pencabarnya, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi.
Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi.
Menurut Annuar, beliau bangga melihat bagaimana ahli parti akar umbi dan pengundi di situ menerima dan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti.
Selepas itu, katanya, beliau berkampung dua minggu di Tanjung Piai dan menyaksikan bukan sahaja setianya akar umbi kepada parti tetapi lebih membanggakan melihat jentera BN pelbagai kaum serta Pas bekerja keras membantu Dr. Wee Jeck Seng.
“Saya sendiri, selain mengendalikan War Room, atur strategi dan selaraskan operasi UMNO, berpeluang menemui dan melatih jentera MCA. Saya turut berceramah di khalayak pengundi Cina.
“Anak muda Melayu, Cina dan India bekerja bersama-sama. Naratif dan story board yang sama iaitu mendokong aspirasi BN dan Muafakat Nasional (MN),” katanya.
Beliau berkata, hasilnya lapan hingga sembilan dari 10 pengundi Melayu memangkah calon MCA dan lebih 40 peratus pengundi Cina turut menyokong.
“Inilah mesej dari penghujung benua. Malaysia yang satu, pelbagai kaum yang berpadu demi negara yang maju dan tidak lagi mahu ditipu,” ujarnya. – MalaysiaGazette