Penulis (dua dari kanan) bersama peserta Wacana Intelektual anjuran Fakulti Ekologi Manusia UPM, di Serdang, Selangor.

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

SEORANG tokoh pendidikan dan ahli falsafah tempatan, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang juga pengasas dan mantan Pengarah Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyifatkan usaha universiti tempatan mengejar ranking sebagai satu penyakit baharu dalam dunia akademik tanah air.

Meskipun usaha mengejar ranking atau kedudukan terbaik di kalangan universiti-universiti ternama dunia tidaklah menjadi kesalahan, semua inisiatif atau fokus ke arah pencapaian tersebut hanya menjurus kepada pengukuhan kehebatan atau melonjakkan reputasi masing-masing institusi sahaja.

Sambil menyuarakan kebimbangannya dunia pendidikan kini sudah terlalu diperdagangkan, Dr. Wan Mohd Nor mengingatkan semua pihak harus kembali kepada teras terpenting dalam menuntut ilmu, iaitu untuk mengenal Tuhan dan menjadi insan yang baik.

Menurutnya, tiada sesiapa yang berani menentang atau melawan arus dalam keghairahan mengejar status ranking universiti ternama dunia yang kebanyakannya dimonopoli institusi pengajian tinggi di dunia Barat.

“Semua berlumba-lumba untuk mengejar dan melonjakkan kehebatan masing-masing,” katanya ketika berucap dalam program bulanan Wacana Intelektual bertajuk “Peranan Universiti dan Budaya Ilmu”, anjuran Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Pertanian Malaysia, di Serdang, Selangor.

Salah satu senarai ranking dikeluarkan oleh The Times Higher Education World University Rankings melibatkan 1,400 universiti meliputi 92 negara di seluruh dunia.

Lazimnya, 10 Universiti Terbaik disenaraikan ialah universiti-universiti bertaraf Ivy-League di Amerika Syarikat seperti Universiti Harvard, Stanford, Princeton, manakala di United Kingdom seperti Universiti Oxford and Cambridge.

Dr. Wan Mohd Nor mengingatkan kepentingan budaya ilmu yang harus menjadi keutamaan semua pihak, termasuk institusi pengajian tinggi berasaskan pandangan alam (worldview) dan kerangka yang betul bagi landasan ke arah membina semula peradaban berasaskan nilai-nilai murni.

“Menentang budaya ilmu adalah menentang kemanusiaan dan ketuhanan,” tegas tokoh ilmuan yang menulis lebih 16 judul buku, monograf dan berpuluh-puluh makalah dalam jurnal tempatan dan antarabangsa.

Antara bukunya yang terkenal ialah The Concept of Knowledge in Islam: Its Implications for Education in a Developing Country, The Beacon on the Crest of Hill, The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Budaya Ilmu: Makna dan Manifestasi dalam Sejarah dan Masa Kini.

Profesor dalam bidang Falsafah dan Pengajian Tamadun, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad bertindak selaku perantara bagi sessi Wacana Ilmu tersebut, yang turut dihadiri kira-kira 70 orang peserta.

Selain itu, Dr. Wan Mohd Nor turut mengingatkan bahaya gejala ingkar ilmu yang melanda sebahagian umat sehingga menafsirkan ilmu bukan berasaskan pengertian,  konsep dan kerangka ilmu yang sebenar.

Ditanya pandangannya berkaitan usaha universiti tempatan untuk memperkenalkan subjek Falsafah dan Peradaban, beliau menyambut baik usaha dan gagasan tersebut tetapi mengingatkan kejayaannya turut bergantung kepada kualiti guru yang mengajar ilmu-ilmu tersebut.

Begitu juga, beliau menyokong cadangan untuk menggabungkan fakulti atau sekolah pengajian yang terdapat di universiti kerana ia betul dari sudut falsafah ilmu yang seharusnya bersifat bersepadu (holistik) dan tidak terpisah-pisah.

Namun, tegas beliau langkah itu tidak seharusnya didorong oleh faktor materialisme, khususnya untuk mengurangkan kos pengurusan universiti.

“Ada banyak cara atau kaedah lain untuk penjimatan kos misalnya dengan mengurangkan lawatan yang tidak perlu untuk ke luar negara semata-mata untuk membentangkan kertas kerja,” katanya.

Rumusannya, sesi wacana tersebut berusaha merungkai dan menjawab persoalanpenting berkaitan pengertian dan konsep Budaya Ilmu, apakah ilmu perlu dibudayakan, krisis nilai dan keperluan ummah untuk membina tradisi ilmu mengikut acuan kita, di samping mempersoalkan semula idea atau gagasan sebenar penubuhan universiti. – MalaysiaGazette

*Mohd. Shah Abdullah, Ketua Jabatan Komunikasi dan Bahasa, Manipal International University (MIU), Nilai, Negeri Sembilan berminat mengikuti persoalan berkaitan ilmu, bahasa dan budaya.