Redzuan menunjukkan isyarat bagus selepas meninjau Super Drone atau kenderaan terbang di Subang, Khamis lalu.
KUALA LUMPUR – Selepas tidak dibenarkan ‘terbang’ Khamis lalu, kenderaan super dron atau ‘kereta terbang’ UAS E-Hang 216 (EH216) dijangka melakukan penerbangan pertamanya di Maldives tidak lama lagi.
Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang turut menerima jemputan khas untuk sama-sama menyaksikan peristiwa penting itu.
Bercakap kepada wartawan selepas program Himpunan Usahawan Terengganu, beliau berkata, projek tersebut tidak membabitkan satu sen pun perbelanjaan kerajaan kerana ia adalah inisiatif pihak swasta.

“Kita memudahcarakan kepada orang muda yang hendak  melibatkan diri dalam aerospace air mobility industry.

“Takkan tidak boleh buat, ini bukan dasar kerajaan. Dia pergi buat tempat lain. Contoh tidak boleh terbang di Subang itu hari dia akan terbang di Maldives, Insyaallah dia akan jemput Pak Wan untuk terbang di Maldives untuk inter island hopping, tidak ada masalah,” katanya di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, Redzuan tidak mendedahkan tarikh sebenar penerbangan di Maldives tetapi beliau bersedia untuk terbang ke sana memenuhi jemputan syarikat yang berkenaan.

Khamis lalu pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak meluluskan ujian penerbangan ‘kereta terbang’ pertama Malaysia atas faktor keselamatan.

BACA: Uji pandu kereta terbang tidak dapat kebenaran CAAM

Tambah Redzuan berkata peraturan dan birokrasi yang ketat menjadi penghalang kemajuan pembangunan industri aeroangkasa dan mobiliti udara.

– MalaysiaGazette