NILAI – Program larian yang menjadi tradisi dalam Pesta Konvokesyen (CFEST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Nocturnal Run ibarat sudah mempunyai pengikut tersendiri saban tahun.

Memasuki edisi keempat larian itu diadakan, Nocturnal Run 4.0 berjaya menarik lebih 1,500 penyertaan untuk berlari sekitar kampus USIM pada malam tadi.

Pelepasan para peserta larian yang bertemakan Get Fit Don’t Quit itu disempurnakan oleh Exco kerajaan Negeri Sembilan,  Muhamad Taufek Abd Ghani yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi tepat jam 9.00 malam tadi di perkarangan Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM.

Pada tahun sebelumnya, terdapat dua kategori peserta larian iaitu kategori pelajar dan kakitangan; dan kategori terbuka, keunikan tahun ini, Nocturnal Run turut membuka kategori Virtual Run.

Sementara itu, sebelum larian Nocturnal Run 4.0 dilepaskan telah diadakan Majlis Perasmian CFEST USIM di khemah utama Tapak CFEST.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani menekankan larian yang sinonim sempena CFEST adalah sebagai satu usaha mempromosi riadah sihat dan agenda FitUSIM.

”Objektif USIM menganjurkan Majlis Perasmian CFEST 2019 dan Nocturnal Run 4.0 adalah sebagai simbolik menandakan bermulanya CFEST selain menjadi platform publisiti dan promosi kepada warga kampus dan masyarakat sekitar. Pelbagai acara bakal berlangsung di Tapak Pesta Konvokesyen bersebelahan Dewan Tuanku Canselor bermula 23 hingga 28 November 2019”.

”CFEST diadakan secara tahunan dan diurus setiakan oleh Majlis Perwakilan Pelajar USIM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM. Penganjurannya juga bersempena Majlis Konvokesyen USIM kali ke-17 menyediakan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung”

”Sepanjang enam hari CFEST diadakan, program yang diaturkan amat menarik serta memenuhi kehendak pelbagai peringkat umur pengunjung iaitu berbentuk jualan dan pameran, forum, sukan, bedah buku dan kebudayaan.- MalaysiaGazette