Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Gaji lima daripada 18 ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baharu dilantik oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah diturunkan.

Manakala gaji empat CEO dinaikkan dan sembilan lagi dikekalkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah keseluruhan gaji 18 orang CEO baharu ini adalah lebih rendah berbanding dengan jumlah gaji terdahulu dengan penjimatan sebanyak RM87,050 sebulan atau RM1.04 juta setahun.

Menurutnya, tiada ahli politik telah dilantik sebagai CEO syarikat-syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) atau syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan di bawah kawalan Kementerian Kewangan.

“Tiada lantikan politik telah dibuat ke dalam Lembaga Pengarah syarikat-syarikat tersebut, kecuali lantikan Perdana Menteri dan YB Menteri Hal-Ehwal Ekonomi sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi tidak menerima sebarang bayaran elaun tahunan dan elaun mesyuarat lembaga pengarah dalam Khazanah Nasional Berhad,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Pas) di Dewan Rakyat hari ini.

Khairuddin meminta Menteri Kewangan menyatakan senarai semua MKD di bawah Kementerian Kewangan yang dilantik sebagai CEO yang baharu dan perbandingan gaji mereka.

Bagi GLIC pula, kata Guan Eng, satu garis panduan berkaitan ganjaran bagi pengurusan tertinggi syarikat iaitu Buku Biru (Peningkatan Pengurusan Prestasi) telah pun diterbitkan oleh Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) pada April 2006.

Katanya, dalam usaha memastikan calon CEO yang dilantik merupakan individu yang berwibawa, kompeten dan berpengalaman luas serta relevan dalam menerajui syarikat kerajaan, bayaran gaji yang kompetitif turut dipertimbangkan bagi menarik individu yang mempunyai kriteria.

“Dan tentu, ia adalah lain daripada apa yang dibayar untuk elaun kepada bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan sehingga beliau boleh dapat tambahan gaji RM56,000 sebulan atau ganjaran tambahan sebanyak RM3.8 juta di antara tahun 2012 kepada Jun 2018,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Patut la pakatan makin kurang disokong oleh rakyat. Tak akan tak ada penyokong pakatan yg lebih cekap dan baik untuk menjadi ceo. Atuk je ke yg layak lain tak ade.

Comments are closed.