Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang

KUALA LUMPUR – Saksi ke-6 perbicaraan pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ambrin Buang hari ini mendedahkan bagaimana beliau akhirnya bersetuju meminda laporan tersebut dalam Mahmakah Tinggi sebentar tadi.

Ambrin mendedahkan sekitar 22 Februari 2016, beliau telah dipanggil untuk bertemu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri melalui Ketua Setiausaha Politiknya, Tan Sri Syukry Salleh bagi berbincang laporan akhir audit 1MDB.

Dakwa Ambrin yang juga merupakan bekas Ketua Audit Negara bahawa Najib bukan sahaja mahu laporan audit 1MDB itu dipinda sebaliknya juga berjanji kepadanya untuk melakukan siasatan menyeluruh berkaitan isu serius serta ketara dalam laporan itu.

“Pada pertemuan itu, Najib meminta saya memberitahu beliau apa-apa isu ketara dan serius dalam laporan audit akhir 1MDB. Saya kemudian bangkitkan isu mengenai dua versi penyata kewangan 1MDB yang berbeza bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2014.

“Dua versi penyata kewangan yang satunya telah dihantar ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyatakan 1MDB sudah menggunakan dana diperolehi daripada pelaburan SPC untuk membayar hutang-hutang syarikat serta digunakan sebagai modal kerja 1MDB.

“Satu lagi versi penyataan kewangan yang dihantar ke Kementerian Kewangan, Deutsche Bank dan Ambank menyatakan diperolehi daripada SPC masih lagi di simpan 1MDB.

“Pada masa itu, Najib telah meminta saya tidak memasukan isu berkenaan dua versi itu dalam laporan audit akhir 1MDB sebaliknya berjanji kepada saya pihak berkuasa akan membuat siasatan menyeluruh.

And we will get to the bottom of this (siasat hingga lubang cacing) secepat mungkin kata Najib kepada saya,” katanya ketika membacakan penyataan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sebentar tadi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Gopal Sri Ram ketika pemeriksaan utama sebentar tadi turut bertanyakan tentang perincian tentang perkara tersebut kepada Ambrin.

Gopal Sri Ram

Gopal Sri Ram: Apabila Najib menggunakan kata-kata ‘we will get to the bottom of this’, adakah anda percaya cakapnya?

Ambrin: Pada masa itu, beliau ada Perdana Menteri Malaysia. Tidak ada sebab langsung mengapa saya tidak mempercayainya.

Gopal Sri Ram: Adakah anda menyemak selepas itu adakah sebarang siasatan berhubung perkara itu telah dijalankan?

Ambrin: Tidak. Saya tidak dapatkan sebarang pengesahan tentang siasatan tersebut.

Dalam pada itu, Ambrin juga mendedahkan bagaimana keadaan kewangan 1MDB yang tidak begitu memuaskan dengan antara punca utamanya adalah hutang luar.

“Sebenarnya tadbir urus sangat lemah dengan semua pelaburan besar-besar itu tidak ada maklumat yang terperinci malah cara mereka berniaga sebenarnya hanya bergantung dengan pinjaman luar negara akhirnya menjadi beban besar.

“Pinjaman juga di buat melebihi pendapatan 1MDB dan tidak menguntungkan. Hutang 1MDB hutangnya lebih tinggi berbanding pendapatan membuatkan syarikat itu mengalami kerugian,” dedahnya.

Perbicaraan masih lagi berlangsung dengan rakaman audio ketika mesyuarat penyelarasan Laporan Pengauditan 1MDB pada 2016 yang telah dirakam oleh Nor Salwani Muhammad sedang dimainkan kembali bagi mendapatkan penjelasan daripada Ambrin.

Audio berdurasi dua jam 45 minit telah dirakam Salwani yang merupakan Pengarah Audit Jabatan Audit Negara secara ‘rahsia’ kerana mahu mendapatkan minit mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB berkenaan. –MalaysiaGazette

Pinda audit 1MDB: Ambrin sambung beri keterangan ‘panas’