Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bayaran upah di Malaysia dijangka meningkat 5.0 peratus pada 2020, manakala pertumbuhan upah sebenar dijangkakan menyusut kepada 3.5 peratus daripada 3.6 peratus tahun lepas selepas pelarasan pada kadar inflasi sebanyak 1.5 peratus, kata frima perundingan pengurusan global Korn Ferry.

Dalam pada majikan Malaysia menganggarkan kenaikan upah lima peratus pada 2020, yang sama seperti pada 2019, pertumbuhan upah sebenar akan menyusut pada 2020 apabila mengambil kira kadar inflasi, Kata ketua bagi amalan ganjaran dan manfaat Asia Pasifik Korn Ferry, Mary Chua.

“Sudah banyak perbincangan bahawa kadar inflasi yang tidak mencerminkan kenaikan kos sara hidup di Malaysia, dan kerajaan sedang berusaha membangunkan indeks baharu yang lebih tepat mengenai kos sara hidup.

Indeks baharu itu boleh digunakan bersama dengan kadar inflasi bagi meningkatkan usaha dalam menangani kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan kenaikan upah sebenar,” katanya.

Di seluruh Asia Tenggara, Korn Ferry berkata, Indonesia dijangka mendapat peningkatan upah sebenar yang lebih tinggi pada 5.1 peratus selepas mengambil kira 3.0 peratus kadar inflasi.

“Sementara itu, walaupun bayaran upah di Singapura dijangka berkembang hanya 4.0 peratus, secara relatifnya negara itu mempunyai kadar inflasi yang rendah 0.4 peratus yang diterjemahkan sebagai peningkatan 0.6 peratus upah sebenar berbanding tahun lepas, tertinggi di rantau ini,” katanya.

Chua berkata, kini retorik semakin meningkat bagi menangani beban kehidupan berbanding peningkatan tekanan untuk memberikan pulangan kepada pemegang saham, dalam suasana perniagaan yang semakin mencabar.

“Peningkatan upah perlu selari dengan peningkatan produktiviti, sekiranya tidak, kos tersebut akan dipindahkan kepada pengguna dan menyebabkan kenaikan kos sara hidup.

“Kami menjalankan banyak perbincangan dengan syarikat mengenai cara mereka menguruskan upah supaya lebih mampan dan terangkum dalam jangka panjang termasuk meningkatkan kemahiran,” katanya.

Untuk seluruh dunia, Korn Ferry mengunjurkan bayaran upah meningkat pada kadar 4.9 peratus tahun depan.

“Dengan unjuran kadar inflasi global sebanyak kira-kira 2.8 peratus, peningkatan upah nyata dijangka sebanyak 2.1 peratus.

“Pada 2019, peningkatan upah nyata di seluruh dunia hanya 1.0 peratus dengan kadar pertumbuhan upah pada 5.1 peratus dan inflasi global pada 4.1 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette