Tan Sri Abdul Hamid Bador
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ahmad Hamid Bador. foto FAREEZ FADZIL, 25 SEPTEMBER 2019

BANGKOK – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador nekad untuk memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bebas daripada dadah.

Beliau melahirkan rasa bimbang apabila dalam tempoh dua bulan, kira-kira 260 anggota dan pegawai PDRM ditahan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Saya jangka ini hanya separuh sahaja. Saya menjangkakan bilangannya akan meningkat kepada 500 orang. Ini adalah pegawai saya daripada pelbagai pangkat.

“Sebelum ini, masalah (penyalahgunaan dadah) tidak ditangani dengan betul…sebagai ketua polis negara, saya amat prihatin dengan isu ini. Maka, saya bertindak untuk membersihkan jabatan (PDRM),” katanya pada sesi soal jawab pada Majlis Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama diaspora rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok hari ini.

Abdul Hamid berkata, masalah penyalahgunaan dadah di negara ini telah mencapai tahap ‘kritikal’ dan usaha diperhebat untuk memeranginya.

Beliau berkata, kes-kes jenayah yang dilaporkan di Malaysia seperti ragut, curi dan rompak adalah berkait dengan penyalahgunaan dadah.

“Tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang ditahan hampir semua merupakan penagih dadah. Maka, kita perlu mempergiatkan usaha dalam memerangi penyalahgunaan dadah,” katanya.

Berhubung persepsi ‘ketakutan terhadap jenayah’ dalam kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing, Abdul Hamid berkata, PDRM telah bekerjasama dengan Universiti Malaya untuk menjalani satu kajian.

“Kami mahu tahu sama ada ketakutan terhadap jenayah ini benar atau tidak. Kajian itu dijangka akan selesai pada April pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempergiatkan usaha untuk meningkatkan rasa selamat dalam kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk menambah peralatan canggih dan juga meningkatkan ‘omnipresence’ atau kehadiran anggota polis untuk mengurangkan jenayah.

Untuk mengatakan kami tidak berbuat apa-apa, adalah tidak betul … kami telah mencapai peringkat tertentu dalam menguruskan jenayah, tetapi kami akan memperbaikinya dan melakukannya dengan lebih baik,” kata beliau. – Bernama