Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

SEBUT sahaja Parti Keadilan Rakyat (PKR), pasti semua rakyat Malaysia, baik dari semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak mengetahui akan wujudnya parti ini.

Tidak seperti PPBM dan AMANAH yang masih baru dalam arena politik negara, PKR sudah bertapak lebih 20 tahun di Malaysia dan telah melalui pelbagai jenis ujian.

PKR sendiri diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merupakan parti komponen dalam Pakatan Harapan yang memiliki paling banyak kerusi di parlimen.

PKR boleh dikatakan sedang mencapai tahap kegemilangannya pada ketika ini, kerana telah berjaya membentuk kerajaan dan menduduki Putrajaya.

Namun, dalam kegemilangannya, muncul pula pergolakan kepimpinan yang sedang melanda parti itu ketika ini. PKR kini terbahagi kepada dua kem kepimpinan yang berbeza dan ini bukan lagi satu rahsia buat kita semua.

Di satu pihak, ahli-ahlinya menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden parti, manakala di satu pihak lagi menyokong Datuk Seri Azmin Ali yang kini nampaknya sudah tidak sehaluan dengan parti.

Perpecahan kepimpinan ini dilihat begitu membahayakan bukan hanya kepada PKR, malah memberi kesan kepada parti-parti komponen PH yang lain.

Pertembungan dua pemimpin atasan PKR turut merencatkan usaha-usaha pemulihan ekonomi negara kerana ahli-ahlinya terlalu sibuk berpolitik berbanding membuat kerja.

Penulis melihat, pergolakan kepimpinan ini hanya merugikan parti dan negara. Sepatutnya, masa yang ada boleh digunakan untuk berfikir bagaimana caranya untuk membangunkan negara, bukan berfikir untuk menyelamatkan kedudukan politik masing-masing.
Pergolakan dalaman PKR pada bulan November ini dilihat menjadi semakin parah.

Kedegilan Azmin selaku Timbalan Presiden untuk menghadiri mesyuarat telah merebak dan menjadi virus kepada
pemimpin-pemimpin yang lain.

Dikhabarkan juga Zuraidah, iaitu Naib Presiden PKR turut mengambil langkah yang sama untuk tidak menghadiri mesyuarat.

Melihat kepada kedegilan yang ditunjukkan oleh Azmin dan Zuraidah, beberapa pihak lagi mula menunjukkan perangai masing-masing.

Kepimpinan PKR Sarawak misalnya, bertegas membatalkan mesyuarat kerana Azmin selaku Timbalan Presiden tidak dijemput menjadi perasmi kongres PKR Sarawak.

Namun, kongres itu tetap diadakan pada 23 November tanpa kehadiran beberapa pemimpin tertinggi negeri, termasuklah Baru Bian (ketua PKR Sarawak).

Ingatlah wahai pemimpin PKR, rakyat adalah penentu masa depan sesebuah parti politik dan kuasa mengubah kerajaan terletak pada pengundi.

Mereka sentiasa memerhati setiap gerak-geri pemimpin politik. Jika rakyat terlalu meluat dengan ‘drama politik’ yang tanpa ada kesudahan, dikhuatiri mereka ini akan beralih arah menyokong parti lain.

Demi menghilangkan rasa meluat rakyat, PKR perlu memperbetulkan semula perjuangan parti agar tidak tersasar daripada perjuangan asal. Sasaran untuk menguasai Putrajaya kini sudah berjaya, dan sudah tiba masanya untuk fokus membuat kerja.

Pergeseran kepimpinan hanya merugikan parti. Ada pihak yang perlu mengalah, menundukkan ego dan patuh kepada arahan ketuanya.

Jika merasakan tidak lagi mampu mengikut dasar-dasar yang diperjuangkan dalam parti, keluarlah secara sukarela kerana tidak ada gunanya menjadi pengacau di dalam sesebuah parti.

Jika mahu terus kekal dalam parti, patuhlah pada arahan presiden dan bersama-sama meraikan perbezaan pendapat.

Tidak mungkin presiden yang perlu mengalah dan tunduk kepada segala desakan, kerana presiden adalah pemimpin tertinggi parti.

Ya, memang benar ketua perlu mendengar rintihan anak buahnya, namun tidak semua rintihan itu perlu disusuli dengan tindakan. Ada kalanya, ketua perlu bertindak mengikut
kewarasan akal fikiran dan perlu juga menjaga hati ahli-ahli yang lain.

Berbalik kepada kemelut yang melanda PKR ketika ini, adalah lebih baik sekiranya Azmin Ali, Zuraidah, Baru Bian dan beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan kem Azmin Ali bermuhasabah diri dan menundukkan ego masing-masing.

Ini demi memastikan PKR sentiasa kekal utuh dan terus mendapat sokongan rakyat pada masa akan datang. PKR tidak boleh berpecah-belah.

Jika PKR berpecah dan berlakunya krisis kepimpinan yang sangat teruk, usaha mengangkat Anwar Ibrahim selaku perdana menteri Malaysia ke-8 akan menjadi terbantut.

Parti-parti komponen yang lain seperti DAP, PPBM dan AMANAH turut akan diheret sama dalam krisis ini dan kesudahannya nanti semua pihak akan rugi.

Bersama-samalah memperbetulkan semula masalah-masalah yang berlaku dalam PKR. Jangan terlalu memanjangkan hal-hal yang remeh.

Gunakan masa yang ada untuk membantu rakyat, memulihkan ekonomi negara dan berfikir untuk meringankan kos sara hidup rakyat. Ayuh pemimpin-pemimpin politik
semua, bangun dan bangkitlah untuk rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

Syahmi Minhad, Pembaca Malaysia Gazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.