Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC)

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan beliau bukan seperti menteri-menteri MCA yang selalu membuat janji kosong berhubung dana Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC).

Katanya, beliau tidak mahu terlibat dengan polemik Wee Ka Siong mengenai urusan Kementerian Kewangan kerana Presiden MCA itu tidak pernah menjadi Menteri Kewangan pun selama ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Agung DAP, parti itu mendakwa Ka Siong cuba memainkan isu berkenaan bagi mengelak menjawab soalan oleh Persatuan Alumni TARUC (TAA) yang mengatakan institusi pengajian tersebut dimiliki dan dikawal oleh MCA.

Malah pemimpin-pemimpin MCA juga gagal untuk mematuhi undang-undang mengenai komposisi Lembaga Pemegang Amanah (BOT) TARUC.

MCA juga katanya, gagal mematuhi syarat yang menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada BOT mestilah bebas dan tidak mempunyai kaitan dengan MCA.

Malangnya, menurut kenyataan tersebut, 100 peratus daripada ahli BOT terdiri daripada pemimpin-pemimpin MCA.

Tambahnya, MCA juga gagal untuk mendapatkan kelulusan bagi ahli-ahli BOT daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan kerajaan lama dan sekarang.

“Guan Eng berkata, beliau tidak mahu terlibat dengan polemik dengan Ka Siong berhubung urusan Kementerian Kewangan kerana Ka Siong sendiri tidak pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan.

“Oleh kerana Ka Siong ragu-ragu bahawa Guan Eng mampu memberikan sekurang-kurangnya RM30 juta kepada tabung amanah yang bakal ditubuhkan, apa yang boleh dilakukan oleh Presiden MCA itu apabila Guan Eng berjaya menyalurkan dana berkenaan?

“Apabila Guan Eng menyerahkan dana berkenaan, Ka Siong perlu menyatakan bagaimana beliau akan memberitahu kepada umum mengenai tuduhan dan serangan peribadi yang telah dilemparkan kepada Guan Eng?” kata kenyaataan tersebut hari ini.

Menteri Kewangan itu telah berulang kali mengeluarkan kenyataan bakal menyalurkan dana sekurang-kurangnya RM30 juta setahun kepada sebuah tabung amanah yang bakal ditubuhkan oleh TAA untuk kegunaan TARUC dan para pelajarnya.

TAA dianggotai oleh bekas-bekas pelajar TARUC yang telah berjaya dalam bidang profesional dan perniagaan.

TAA juga telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk menubuhkan sebuah tabung amanah, dua hari lepas.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kah kah kah..aku sokong HUJJAH LGE .,dia bukanpun pernah jadi MENTERI KEWANGAN
    Sebiji tertepek ke muka MCA…khikhikhi
    #Love you LGE “hidup LGE”.

Comments are closed.