MOSCOW – Pesawat pemintas, MiG-31K melakukan ujian peluru berpandu hipersonik, Kinjal, di kawasan Artik, Rusia awal bulan ini, kata agensi berita Tass yang memetik dua orang sumber tentera.

Laporan tersebut disiarkan sehari selepas perkhidmatan perisikan Denmark memberi amaran tentang permusuhan geopolitik yang semakin meningkat di utara dan berkata bahawa tentera China sedang meningkatkan penggunaan penyelidikan saintifik di Artik bagi memasuki wilayah tersebut.

“Ujian ini dilakukan pada pertengahan November,” kata Tass yang memetik salah seorang sumber tersebut seperti dilaporkan The Japan Times.

Pesawat MiG-31K berlepas dari lapangan terbang Olenegorsk di utara wilayah Murmansk dan melepaskan tembakan peluru berpandu ke sasarannya di daratan, pusat latihan Pemboi di wilayah Artik Komi, Rusia, lapor Tass.

Pada Jumaat lalu, perkhidmatan risikan Denmark berkata, laporan penilaian risiko tahunannya mendapati ‘terdapat permainan kuasa yang amat besar sedang diwujudkan’ antara Rusia, Amerika Syarikat dan China yang meningkatkan tahap ketegangan di wilayah Artik.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mendedahkan kewujudan Kinjai bersama sistem peluru berpandu lain pada Mac 2018 sebagai tidak boleh ditandingi itu menjelaskan bagaimana ia boleh mengelak pertahanan lawan.

Media Rusia melaporkan, Kinjai dengan dilengkapi peralatan letupan niklear atau konvensional boleh menuju ke sasaran sehingga 2,000 kilometer dan peluru berpandu itu telah ditempatkan di daerah tentera di selatan Rusia. – Agensi