Datuk Seri Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Dengan penuh semangat berkobar-kobar, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memberi amaran kepada Lim Guan Eng dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya tidak sesekali ‘menyentuh’ Tunku Abdul Rahman University College (TAR UC).

Ka Siong berkata, selagi bergelar Presiden MCA, beliau tidak sesekali membiarkan Guan Eng yang juga Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP ‘memusnahkan’ aset MCA itu.

Malah TAR UC yang diasaskan oleh MCA sekitar tahun 1968 yang telah menghasilkan lebih 200,000 graduan kini didakwa berada di ambang bahaya kerana kerajaan kini tidak menyediakan peruntukan seperti kerajaan terdahulu.

Guan Eng sebelum ini pernah menggesa supaya MCA memutuskan hubungan dengan TAR UC bagi membolehkan kerajaan menyediakan lebih peruntukan kepada institusi pengajian tinggi berkenaan.

“Guan Eng, kami tidak akan sesekali membenarkan kamu musnahkan TAR UC walau apapun. Jangan lupa TAR UC telah menghasilkan ratusan ribu graduan yang kini telah berjaya bukan sahaja dalam karier mereka sebaliknya juga telah membawa impak kepada negara dalam pelbagai aspek.

“Selagi saya masih lagi Presiden MCA, saya tidak akan sesekali biarkan kamu atau bapa kamu, Lim Kit Siang dan parti kamu, DAP untuk menggangu gugat TAR UC ini.

“Malah secara keseluruhannya, warga MCA mahupun masyarakat Cina di luar tidak akan sesekali benarkan ini terjadi.

“Kamu, bapa kamu Kit Siang tidak pernah sekali pun menderma walaupun sesen kepada universiti kolej ini. Jadi janganlah memandai untuk bercakap atau salah guna kuasa yang kamu ada kini.

“Jangan dekati TAR UC, jangan cuba masuk campur urusan kami,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Persidangan Agung Tahunan MCA di Wisma MCA hari ini.

Guan Eng sanggup letak jawatan jika tak tunai janji kepada TARUC

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Air Hitam terus menghuraikan sejarah TAR UC yang bermula pada 15 Julai 1968 dengan Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Khir Johari mengumumkan kelulusan bagi membolehkan MCA menubuhkan Kolej Tunku Abdul Rahman.

Wee berkata, MCA berjaya mengumpul dana sebanyak RM20 juta bagi membangunkan institusi tersebut, yang membolehkan pelajar Cina mendapat pendidikan bertaraf universiti untuk menjadi juruteknik dan profesional

Beliau berkata, pada 22 Ogos 1972, menteri pelajaran ketika itu, Tun Hussein Onn mengemukakan Instrumen Kerajaan (IoG) di Parlimen dan berjanji membantu Kolej TAR daripada segi kewangan pada asas 50:50.

“Tun Hussein juga mengumumkan bahawa Lembaga Gabenor TAR UC akan diberikan kerusi perwakilan dalam kerajaan. Melalui IoG itu, kerajaan mengiktiraf kedudukan Lembaga Gabenor Kolej TAR UC dan diploma yang dikeluarkannya dari segi undang-undang,” kata beliau.

Ka Siong berkata, ketika Kolej TAR dinaikkan taraf kepada kolej universiti pada 2013, Kementerian Pengajian Tinggi mengadakan perbincangan dengan Kolej TAR dan juga MCA berdasarkan IoG yang diluluskan Parlimen pada 1972.

“Ketika itu diputuskan supaya sebuah Yayasan Pendidikan TAR yang tidak bermatlamatkan keuntungan diwujudkan untuk mengurus asetnya,” jelas Ka Siong. – MalaysiaGazette