Ahli Jawatankuasa Persatuan Penjaja Puchong Permai, Yusof Isa bercakap kepada media mengenai kebakaran uptown dan isu perobohan uptown di Puchong Permai, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 DISEMBER 2019

PUCHONG – Bagaikan jatuh ditimpa tangga, itulah nasib 25 peniaga kedai makan di Puchong Permai bukan sahaja diarah keluar bahkan bakal hilang punca percarian apabila premis perniagaan mereka bakal dirobohkan, Selasa ini.

Lebih malang nasib mereka apabila isu itu cuba diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud bukan sahaja tidak membantu bahkan dituduh pula tidak tahu berterima kasih.

“Saya sendiri jumpa dengan YB Mariah, bila kita bercakap soal orang-orang Puchong dia memang tak nak dengar cakap kita, (hanya) dengar cakap dia saja.

“Rupanya dia sudah ada pelan tindakan dia, dia pula cakap kita orang Puchong tak berterima kasih, sudah berniaga, tiada lesen niaga sudah lama.

“Yang terlibat di sini sepatutnya ada pembelaan daripada YB Mariah, tapi bila kita jumpa dengan dia, YB tolak mentah-mentah saja,” kata seorang peniaga makan, Yusof Isa ketika ditemui MalaysiaGazette di Uptown Puchong Permai, di sini, hari ini.

Menurut Yusof lagi, dia lebih terkilan apabila namanya tidak tersenarai dalam pemindahan semula tapak baharu sedangkan dia sudah berniaga di situ sejak 20 tahun lalu.

“Mula-mula dipanggil ada 25 orang, yang dapat hanya 8 peniaga saja.

“Memang rasa terkilan tak tersenarai untuk tapak baru sedangkan saya berniaga antara terawal di Puchong

“Saya mula berniaga sejak 2000 di Puchong, sebelum Uptown ada lagi dekat sini,” katanya.

Peniaga Kedai Makan Puchong Permai
Ahli Persatuan Penjaja Puchong Permai, Azman Hassan bercakap kepada media mengenai kebakaran uptown dan isu perobohan uptown di Puchong Permai, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 DISEMBER 2019

Sementara itu, seorang lagi peniaga kedai makan terlibat, Azman Hassan, 52, berkata, dia terpaksa menyelamatkan semua peralatan perniagaan ikan bakarnya termasuk struktur kedai.

Katanya, ini kerana dia yakin notis perobohan itu tetap akan diteruskan meskipun Persatuan Penjaja Puchong Permai ada menghantar surat rayuan penangguhan tindakan itu.

“Apabila kita dapat notis 3 Disember akan dirobohkan di bahagian hadapan ini, jadi sebagai persediaan saya lebih awal keluarkan barang saya sebab saya yakin majlis akan bertindak pada Selasa ini,” katanya.

Azman yang berniaga di situ sejak 9 tahun lalu turut menerima nasib sama apabila namanya tidak tersenarai untuk dipindahkan ke tapak baharu.

“Sekarang ini memang saya tak boleh berniaga, saya hilang punca pencarian dan saya amat berharap ditawarkan tapak yang baru.

“Saya ada buat permohonan sebelum ini, tapi saya dimaklumkan nama saya tiada dalam senarai yang diluluskan.

“Lepas itu saya ada hantar surat rayuan tapi belum ada jawapan lagi. Saya berharap hanya lot kedai yang aktif saja dipilih ke tapak baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette