NEW DELHI – Kapten pasukan kriket India, Virat Kohli melahirkan rasa kecewa terhadap insiden jenayah rogol secara beramai-ramai ke atas seorang doktor haiwan, Dr Priyanka Reddy di Hyderabad, yang kemudian dibakar sehingga mati.

“Apa yang berlaku di Hyderabad ini benar-benar memalukan. Apakah yang sedang berlaku dengan masyarakat kita pada masa ini? Sudah tiba masanya untuk kita tamatkan tragedi yang tidak berperikemanusian seperti ini,” katanya dalam Twitter.

Kenyataan Virat tidak begitu mengejutkan kerana hampir setiap hari insiden seperti ini berlaku di India, namun penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat belum dapat membendung jenayah rogol.

Sejak beberapa hari, ramai ahli politik, selebriti, netizen, kumpulan pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita tampil mengkritik insiden yang berlaku ke atas Priyanka.

Agensi melaporkan, Priyanka yang sepatutnya pulang ke rumahnya selepas bekerja pada jam 9.30 malam dihampiri sekumpulan lelaki di kawasan plaza tol tempat beliau memakirkan skuternya.

Suspek, empat lelaki dikatakan telah merancang untuk menculik dan merogol Priyanka ketika dia meletakan skuternya di kawasan tol pada jam 5.30 petang.

Suspek-supek ini kemudian bertindak mengeluarkan angin tayar hadapan skuter tersebut sebelum Priyanka tiba.

Salah seorang suspek kemudian menawarkan bantuan sebelum bertindak ganas dengan menyeretnya ke kawasan semak sebelum bergilir-gilir merogol wanita malang itu.

Salah seorang suspek juga telah bertindak menyumbat kain pada mulut dan hidung mangsa sehingga mangsa sesak nafas dan mati di tempat kejadian.

Dia juga telah dipaksa minum arak murah sehingga tidak sedarkan diri.

Priyanka kemudian dibakar sebelum mayatnya dicampak 25 kilometer daripada kawasan tol plaza itu dan mayat doktor haiwan itu ditemui beberapa jam selepas itu.

Apa yang menyedihkan. Priyanka yang sedar sesuatu tidak betul apabila dihampiri empat lelaki yang menawarkan diri untuk membaiki skuternya sempat menelefon adik perempuannya.

“Jangan letak letefon, saya rasa takut. Kamu terus bercakap dengan saya sehingga skuter saya dibawa kembali. Mereka semua sedang menunggu saya di luar ini,” kata Priyanka kepada adiknya.

Selepas beberapa minit, panggilan telefon itu putus dan Priyanka gagal dihubungi kembali sehingga mayatnya yang separuh terbakar ditemui Khamis lalu.

Tanda pagar #HangRapists trending di laman sosial Twitter sejak dua hari ini selain mendapat perhatian bukan sahaja di India sebaliknya seluruh dunia. – MalaysiaGazette