KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman melahirkan rasa dukacita namun pada masa sama tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan membatalkan kemenangannya di kawasan itu.

Kata Anifah, beliau sedih dengan keputusan panel lima orang hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat itu.

Panel hakim memutuskan tidak menemui sebarang kekhilafan fakta serta keputusan oleh Hakim Pilihan Raya sebelum ini.

“Terus terang saya katakan, saya sedih tetapi langsung tidak terkejut dengan keputusan ini sebenarnya.

“Saya sebenarnya jauh lagi terkejut apabila melihat tiga daripada lima panel hakim itu sebenarnya, mereka jugalah yang telah membenarkan rayuan yang telah dibuat oleh calon Warisan, Datuk Karim Bujang pada 18 November tahun lepas.

“Ini sendiri boleh dianggap sebagai tidak neutral. Peguam saya Ansari Abdullah telah memfailkan permohonan agar tiga hakim itu menarik diri daripada mendengar rayuan saya atas tiga sebab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara tiga sebab yang diberikan oleh Anifah termasuk tiga hakim itu terlibat dengan rayuan sebelum ini dan sudah ada pendirian terhadap petisyen yang difailkan, oleh itu tidak mungkin keputusan hari ini neutral atau adil.

Selain itu, kata Anifah, mengikut amalan serta konvensyen Sabah, tiada hakim Sabah yang menghakimi petisyen pilihan raya yang difailkan di Sabah selain beberapa asas dalam rayuan hari ini berkaitan dengan keputusan dibuat panel sebelum ini.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini telah membatalkan kemenangan Parlimen Kimanis hari ini.

Beliau menang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU) dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi tersebut akan diadakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, kata Anifah ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, beliau belum lagi membuat keputusan untuk bertanding.

“Saya akan buat keputusan selepas bercakap dengan para penyokong dan penduduk di Kimanis itu sendiri,” ujarnya.

Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya bersetuju dengan pempetisyen, Karim Bujang berhubung salah laku ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan Borang 13 dan 14 yang menjejaskan kira-kira 341 kertas undi.

Mahkamah bagaimanapun menolak kes rasuah terhadap Anifah dan memerintahkan Karim membayar kos RM105,000 kepada bekas pemimpin UMNO itu.

Anifah memperoleh 11,942 undi berbanding calon Warisan iaitu Karim dan Jaafar Ismail dari Harapan Rakyat, masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.

Bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu mengumumkan keluar parti pada September tahun lalu. – MalaysiaGazette

Kemenangan Anifah terbatal, PRK di Kimanis

Mahkamah putuskan kemenangan Anifah Aman di Parlimen Kimanis tidak sah dan terbatal

1 Komen

  1. Hehehe anifah… Ko mana ada penyokong doh… Yg undi ko dulu 100% org-org UMNO… Tak payah lah ko nak bertanding lagi… Biar UMNO je lawan Warisan kat Kimanis 🙂

Comments are closed.