Saksi, Naib Presiden Maybank (Bahagian Penipuan Kad Kredit dan Jabatan Pertikaian), Annop Singh Gulzara Singh ketika hadir pada kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada perbicaraan kes 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes membabitkan penyewelengan puluhan juta Yayasan Akalbudi yang diasaskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersambung dengan saksi pendakwaan ke-9 hari ini.

Naib Presiden Malayan Banking Berhad (Maybank), GS Anoop Singh Gulzara Singh yang diperiksa balas banyak memberikan jawapan ‘tidak tahu’ kepada peguam bela, Hisham Teh Poh Teik.

Poh Teik mendedahkan enam cek yang diguna oleh Ahmad Zahid untuk bayaran kad kredit tidak ditandatangi oleh Presiden UMNO itu.

Sebaliknya, dakwa peguam bela itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, kesemua tandatangan pada cek Maybank itu menggunakan ‘cop tandatangan’ tanpa pengetahuan Ahmad Zahid.

Hisham: Adakah anda tahu atau tidak Datuk Ahmad Zaid tidak mengecop sendiri tandatangan beliau dan membayar kepada anda (Maybank) dalam enam cek itu?

Anoop: Tidak tahu.

Hisham: Daripada laporan ini, enam cek yang telah disebutkan oleh anda ini bukan hasil tandatangan Datuk Ahmad Zaid.

Anoop: Ya, nampak seperti itu.

Hisham: Saya juga cadangkan kepada anda pemegang kad Maybank, Ahmad Zahid tidak cop enam cek itu? Anda tahu atau tidak tentang ini?

Anoop: Saya tidak tahu.

Hisham: Saya juga mahu cadangkan, enam cek ini sebenarnya telah dicop sendiri oleh pembantu peribadinya, Mejar Mazlina Mazlan? Tahu atau tidak?

Anoop: Tidak tahu.

Hisham: Saya cadangkan kepada anda, ketika enam cek ini dicop, pemegang kad kamu iaitu Datuk Ahmad Zahid tidak tahu pembantunya telah mengecop cek-cek tersebut. Kamu tahu atau tidak?

Anoop: Tidak tahu.

Hisham: Satu lagi cek yang dipulangkan oleh Maybank yang tidak ada tandatangan juga telah di uruskan oleh Mejar Mazlina. Anda tahu?

Anoop: Tidak.

Pada hari keempat perbicaraan,, Anoop Singh mendedahkan, Ahmad Zahid mengeluarkan lapan cek tempatan berjumlah RM65,321.83 untuk membayar kad kredit dan kad caj American Express (AMEX) antara Februari 2014 dan Julai 2015.

Anoop Singh berkata, cek berkenaan dibayar kepada Maybank Card Centre antara 19 Februari 2014 dan 9 Julai, 2015.

“Enam pembayaran dibuat antara 19 Februari dan 29 Oktober 2014 bagi Mastercard Gold dan Visa Platinum.

“Satu pembayaran dibuat pada 20 Mac, 2015 bagi Visa Platinum dan satu pembayaran dibuat pada 9 Julai, 2015 untuk AMEX Platinum,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir perbicaraan kes 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 DISEMBER 2019.

Beliau berkata demikian semasa membaca pernyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt pada perbicaraan 21 November lepas.

Pada hari ini, Hisham merujuk aporan Jabatan Kimia Malaysia bertarikh 28 Februari 2019 yang menyatakan bahawa daripada semua cek yang dihantar untuk dinilai dengan kesimpulan sebanyak 32 cek didapati bukan dihasilkan menggunakan tulisan tangan.

Ia juga membabitkan antara enam cek yang telah dikemukakan Anoop Singh dalam pernyataan bertulisnya sebelum ini.

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast