Pengerusi Jiao Zong (Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia), Ong Chiow Chuen.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong),  Ong Chiow Chuen menegaskan beliau telah melakukan temu janji dengan setiausaha sulit kepada Menteri Pendidikan sebelum bertandang ke Kementerian Pendidikan pada Jumaat lalu.

Chiow Chuen menjelaskan, beliau pada Khamis telah menghantar mesej melalui WhatsApp kepada setiausaha sulit tersebut dan menelefon pegawai pejabat menteri yang lain, tetapi tidak menerima balasan atau panggilan tidak dijawab.

Beliau berkata, setiausaha sulit kepada Menteri Pendidikan bagaimanapun membalas pada pukul 2, Jumaat dan bersetuju supaya memorandum dihantar pada pukul 3 petang hari yang sama.

“Kenyataan bahawa kami tidak melakukan temu janji justeru adalah tidak tepat dan menunjukkan mereka menolak tanggungjawab,” katanya seperti dipetik Oriental Daily.

BACA: Pemimpin Jiao Zong hilang sabar selepas menunggu sejam di Putrajaya

Seorang pegawai dari Kementerian Pendidikan dilaporkan memberitahu sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa Chiow Chuen tidak melakukan temu janji.

Chiow Chuen pada Jumaat lalu bersama Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia(Dong Zong), Tan Tai Kim bertandang ke Kementerian Pendidikan untuk menyerahkan memorandum mengenai pengajaran tulisan Jawi.

Mereka dibawa untuk menunggu dalam sebuah bilik mesyuarat berhampiran lobi selama sejam setengah sebelum seorang pegawai turun untuk menerima memorandum.

Proses penerimaan memorandum dilaporkan hanya mengambil masa lima minit berbanding masa menunggu yang jauh lebih panjang. – MalaysiaGazette