Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Majlis Jamuan Makan Pemuda bersama Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Siswa UMNO akan ditubuhkan di bawah Pergerakan Pemuda untuk meneruskan inisiatif menarik lebih ramai generasi muda menyertai parti itu.

Kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki penubuhan Siswa UMNO selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang membolehkan parti politik ditubuhkan di Universiti Awam (UA).

Tambah beliau, penyertaan ramai mahasiswa bersama Pemuda UMNO juga merupakan salah satu faktor dan bukti generasi muda setia kepada perjuangan parti itu.

“Walaupun belum diumum secara rasmi oleh Presiden tetapi kehadiran mahasiwa-mahasiwa yang ramai pada hari ini membuktikan bahawa mereka setia memilih wajah UMNO.

“Sebab itulah kita setuju tubuhkan satu platform baharu yang akan kita gerakkan ke seluruh universiti mengambil pindaan bagi memboleh parti politik ditubuhkan di universiti,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Jamuan Tengah Hari Pemuda UMNO Bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Tun Razak.

Siswa UMNO itu menurut Asyraf, akan diumum dan dirasmikan oleh Ahmad Zahid. -MalaysiaGazette