Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman sambil diiringi Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PINTAR Foundation, Karimah Tan Abdullah (kanan) meluangkan masa beramah mesra dengan sebahagian murid-murid yang hadir pada Majlis Penutupan Bengkel Kepimpinan Pelajar Pintar - TNB 120 di Holiday Inn Kuala Lumpur, Glenmarie, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Seramai 120 pelajar mendapat pendedahan berguna berkenaan aspek-aspek kepimpinan menerusi Bengkel Kepimpinan Pelajar PINTAR-TNB anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diadakan di hotel Holiday Inn Glenmarie di sini hari ini.

Bengkel yang diadakan sebagai penutup kepada Program Kepimpinan Pelajar PINTAR-TNB120, diadakan untuk pelajar terpilih dari 18 sekolah angkat dibawah PINTAR Foundation yang baru menamatkan Tahun Enam.

la adalah satu program tanggungjawab korporat yang disertai TNB di bawah inisiatif syarikat utiliti itu untuk melahirkan Young Future Leaders’ seiring dengan slogan TNB, Better, Brighter.

Dalam bengkel tersebut, pelajar diberi bimbingan tentang kemahiran insaniah (soft skills), terutamanya kemahiran memimpin, kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran kritis dan kemahiran komunikasi.

Ketua Pegawai Korprorat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman sambil diiringi Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif PINTAR Foundation, Karimah Tan Abdullah bergambar kenangan dengan murid-murid dan guru-guru serta tetamu hadirin yang hadir pada Majlis Penutupan Bengkel Kepimpinan Pelajar Pintar – TNB 120 di Holiday Inn Kuala Lumpur, Glenmarie, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2019.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata program itu  memberi akses pendidikan berkualiti dan holistik kepada pelajar luar bandar.

“Program Tanggungjawab Korporat TNB menjurus kepada tiga bidang utama iaitu pendidikan, sosio-ekonomi (termasuk sukan) dan pemuliharaan alam sekitar.

“Menerusi pendidikan, diharapkan ia dapat membantu pelajar ini berjaya dan kejayaan itu kelak boleh dinikmati bersama oleh keluarganya.

“Menyedari itu, TNB telah menjadi antara Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terawa menyertai PINTAR Foundation untuk mengambil sekolah angkat di kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Bengkel Kepimpinan Pelajar PINTAR-TNB120 yang berlangsung selama tiga hari itu berakhir esok.

Pada majlis yang sama, pelajar program yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini telah menerima hadiah.

Lima pelajar mendapat keputusan 6A sementara 10 mendapat keputusan 5A. 12 pelajar yang mendapat keputusan 4A turut menerima hadiah.

Sementara itu, Program PINTAR TNB Program Sekolah Angkat PINTAR (Promoting Intelligence, Nurturing Talent and Advocating Responsibility) TNB bermula sejak 2007 dengan 40 buah sekolah di seluruh negara, kebanyakannya di luar bandar.

Saringan dilakukan bagi memilih pelajar Tahun Empat untuk menyertai program tersebut dan mereka diberi bantuan dari aspek akademik (bantuan tuisyen, langganan portal akademik dan kursus) serta sukan (klinik dan peralatan hoki).

Kumpulan pelajar ini akan terus dibantu sehingga mereka manamatkan Tahun Enam.

Bermula pada 2017, 18 buah sekolah diserap ke dalam program PINTAR dan TNB mengambil pendekatan berbeza dengan menerapkan program-program yang menekankan aspek kepimpinan dan pembentukan individu yang memiliki daya saing yang tinggi. – MalaysiaGazette