Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya dibenarkan membentangkan laporan pasca setiap kali Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ia mesti dibahaskan untuk perhatian dan muhasabah bersama, kata Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas) semasa perbahasan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, langkah itu diyakini boleh mengangkat nilai ketelusan, kebebasan dan integriti SPR yang menjadi tunjang penting dalam amalan demokrasi negara supaya tidak dipertikaikan.

Che Abdullah juga  bersetuju dengan cadangan menjadikan Suhakam menjadi pemerhati bagi menjamin ketelusan dalam perjalanan setiap Pilihan Raya di negara ini.

“Saya sangat setuju dengan Rasah yang mencadangkan untuk membenarkan Suhakam menjadi pemerhati pilihan raya dan seperti mana laporan Suhakam dibentang dan dibahas di Dewan mulia ini,

“SPR juga perlu melakukan perkara yang sama dengan membantangkan laporan pasca setiap kali PRK dan ia mesti dibahaskan untuk perhatian semua suoaya ketelusan dan integriti SPR tidak dipertikaikan lagi,” katanya.

Beliau juga menyentuh dalam laporan Suhakam mengenai tindakan Bersih 2.0 yang telah mengeluarkan satu laporan pemerhatian PRK yang mana telah mencatatkan 10 kes salahlaku, salahguna sumber kerajaan dan kerajaan persektuan dan negeri berjumlah RM2.39 juta.

Katanya, ia bukan soal mengenai siapa menang atau siapa kalah dalam PRK tetapi soal yang tidak dititikberatkan pada setiap kali pasca PRK adalah post mortem kepatuhan parti-parti poltik bertanding terhadap peraturan dan undang-undang sesuatu proses pilihan raya.

“Sebab itu saya berpandangan bahawa kita perlu ambil serius beberapa cadangan yang dikemukakan dalam laporan Suhakam ini berkaitan membeli undi atau politik wang.

“Ia berkaitan dengan pelaksanaan tegas undang-undang dan penguatkuasaan iaitu dibawah Seksyen 8 penjamuan dan Seksyen 10 Rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta cadangan kedua iaitu melarang kerajaan daripada memberi apa apa kontrak, mengumumkan apa apa bentuk ganjaran dan memberi bantuan kepada pengundi-pengundi dalam tempoh Pilihan Raya,” tegasnya.