Prof Dr. Aini Ideris

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melonjak kepada kedudukan ke-28 terbaik dunia berbanding tempat ke-32 tahun lepas.

Dengan kedudukan itu, UPM berada dalam lingkungan 4% kampus paling lestari di dunia untuk tahun 2019, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai universiti nombor satu dalam negara selama 10 tahun berturut-turut dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2019.

Keputusan ini juga menjadikan UPM berada pada kedudukan ketiga Asia dan kedua Asia Tenggara, kata Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Aini Ideris.

Penarafan UI-Greenmetric mengukur komitmen universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra persekitaran serta inisiatif melestarikan kampus.

Ranking UI-Greenmetric menilai usaha melestarikan kampus hijau menggunakan lebih 60 indikator dalam penilaiannya yang merangkumi 6 skop utama iaitu keluasan tanah dan infrastruktur (15%), tenaga dan perubahan iklim (21%), sisa buangan (18%), air (10%), pengangkutan (18%) dan pendidikan (18%).

Menurutnya, penarafan ini berjaya menarik perhatian 780 universiti dari 85 buah negara di seluruh dunia.

Keputusan yang dikeluarkan pada 4 Disember 2019 itu menyaksikan universiti-universiti dari Amerika dan Eropah mendominasi ranking 20 teratas.

“Kejayaan ini merupakan usaha seluruh warga UPM yang menjadikan usaha kelestarian alam sebagai amalan dan komitmen peribadi, bukan sekadar peraturan semata-mata.

“UPM sentiasa membuat penambahbaikan dalam menghasilkan sumber tenaga yang boleh diperbaharui di dalam kampus. Kami juga memastikan elemen bangunan hijau turut ditampilkan dalam setiap dasar pembangunan dan pengubahsuaian pembinaan di dalam UPM,” katanya.

Tambah beliau, semua entiti di UPM bergerak secara sistematik dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, pemuliharaan air dan program kitar semula.

UPM juga memantau dan menjalankan pelbagai program bagi mengurangkan pencemaran yang dihasilkan dari kenderaan.

Jelas Dr Aini, para penyelidik di UPM juga sangat komited dalam menjalankan penyelidikan yang berkaitan dengan isu-isu kelestarian hijau dan kemakmuran sejagat, selain menerapkan isu berkaitan kelestarian alam dalam silibus pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. – MalaysiaGazette