Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) didakwa sebagai sebuah parti yang lemah serta tidak boleh diharapkan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi bukti yang didedahkan semasa Konvensyen Nasional Amanah 2019.

Beliau mendakwa, calon Amanah menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah disebabkan ihsan daripada pihak lain.

“Congakannya mudah sahaja, PAN (Amanah) kawasan Pasir Mas telah dinobatkan sebagai penerima anugerah kawasan yang mempunyai ahli teramai.

“Bilangan ahli PAN kawasan Pasir Mas sehingga 22 November 2019 telah diumumkan seramai 3,083 orang, hadiahnya pun RM3,083.

“Oleh itu, jika kawasan teramai hanya mempunyai 3,000 ahli maka pastilah kawasan-kawasan lain mempunyai ahli tidak sampai 3,000.

“Itupun penulis pro PAN seperti Mohd Sayuti Omar sendiri secara terbuka menyebut jumlah ahli PAN kawasan Pasir Mas ini jumlah tipu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, walaupun sudah hampir dua tahun Amanah memiliki lima menteri dan empat timbalan menteri, namun parti itu masih tidak ada kekuatan sendiri.

Malah katanya, meskipun sudah hampir dua tahun Amanah memiliki ketua menteri, exco negeri dan pengerusi GLC mereka masih tidak mampu mencuri ahli-ahli Pas.

“Apatah lagi bila kuasa PAN dalam kerajaan negeri hanya ilusi, kerana ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) PAN dalam DUN dan Exco Negeri adalah minoriti (2 daripada 15).

“Sebab itulah walau berdegar membelah langit sekalipun suara pemimpin PAN menyebut mahu membela Islam dan Melayu parti ini tidak boleh diharap sama sekali,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Amanah mahu memperjuangkan dasar parti jika kedudukannya sendiri dalam kerajaan pada masa ini bergantung kepada ihsan pihak lain dalam Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.