Datuk Hans Isaac

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac menafikan mempunyai konflik dengan Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Meskipun keputusan Ahmad Idham memendekkan kontraknya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sehingga 10 Mac 2020, namun Hans berkata, ia bukanlah berpunca daripada masalah hubungan di antara mereka berdua.

“Tiada sebarang konflik. Cuma dalam aspek inisiatif, kami ada haluan untuk industri dan beliau (Ahmad Idham) sudah buat yang terbaik.

“Malah, Idham masih lagi CEO Finas… ada tiga bulan lagi. Saya tiada masalah dengan beliau. Malam tadi, pagi tadi, kami berbalas-balas mesej.

“Misalnya, pagi tadi, saya menggantikan Idham untuk memberi kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Temujanji itu diatur Idham, namun, beliau tidak dapat datang, jadi saya yang menggantikannya seperti diminta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi ahli panel dalam siri Bicara BH bertemakan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri – Kenapa Perlu, Siapa Layak dan Apa Manfaat.

Hans turut mengesahkan Ahmad Idham telah membuat permohonan untuk menamatkan kontrak perkhidmatan lebih awal kepada Lembaga Pengarah Finas pada dua minggu yang lalu.

Artikel berkaitan: Ahmad Idham mohon pendek perkhidmatan CEO Finas

Hans tidak menolak persepsi hubungannya dengan Ahmad Idham berkemungkinan tercetus setelah warganet mempertikaikan kenyataan pengarah filem itu tentang Netflix baru-baru ini.

“Mungkin banyak isu yang keluar daripada kenyataan Idham… Bagi kami, inisiatif untuk memendekkan kontrak adalah daripada beliau, bukannya kami,” katanya.

Tambahnya, Ahmad Idham sepatutnya menjelaskan tentang keputusannya itu.

“Alasan peribadi yang dinyatakan Idham adalah sesuatu yang perlu datang daripada Idham. Bukan dari saya atau ahli Lembaga Pengarah untuk berkongsi… apa-apa lebih baik datang dari Idham,”tambahnya.

Terdahulu Ahli Lembaga Pengarah Finas telah meluluskan permohonan Ahmad Idham untuk memendekkan tempoh kontraknya sebagai CEO perbadanan itu kepada 10 Mac depan atas alasan peribadi.

Unit Komunikasi Korporat Finas dalam satu kenyataan menjelaskan, Finas merakamkan penghargaan kepada Ahmad Idham atas segala sumbangan sepanjang perkhidmatan.-MalaysiaGazette