Vladimir Putin

PARIS – Presiden Vladimir Putin berkata, Moscow mempunyai alasan untuk merayu keputusan yang dibuat oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) yang menghalang Rusia daripada menyertai acara-acara sukan utama.

Katanya, keputusan yang dibuat oleh badan itu merupakan satu tindakan yang melanggar peraturan Olimpik.

Rusia dilarang daripada menyertai acara-acara sukan utama dunia selama empat tahun termasuk Sukan Olimpik musim panas dan musim sejuk serta Piala Dunia sepak bola 2022 disebabkan isu ujian doping.

Putin, yang bercakap di Paris berkata, Rusia akan menganalisis keputusan yang disifatkan dicetuskan oleh sentimen politik dan bukan disebabkan atas kepentingan sukan.

Jawatankuasa Eksekutif Agensi Doping itu bertindak demikian selepas membuat kesimpulan bahawa Moscow telah mengemukakan bukti palsu dan membuang fail yang dikaitkan dengan ujian doping positif dalam data makmal yang dapat membantu mengenal pasti penipuan dadah.

Keputusan itu merupakan tamparan hebat kepada Rusia yang secara tradisinya menjadi kuasa dalam kebanyakan sukan tetapi reputasinya telah dicemari beberapa skandal doping.

Putin berkata, kesimpulan yang dibuat oleh WADA tidak mengandungi sebarang aduan yang diarahkan kepada Jawatankuasa Olimpik Nasional Rusia.

“Dan jika tidak ada aduan mengenainya, bermakna negara wajar dibenarkan bersaing di bawah bendera negara. Ia terkandung dalam piagam Olimpik. Ini bermakna, dalam aspek itu, keputusan WADA melanggar peruntukan Olimpik. Kami mempunyai alasan untuk merayu.

“Mana-mana hukuman sepatutnya dikenakan terhadap individu dan harus dikaitkan dengan apa yang telah dilakukan … oleh satu orang atau yang lain.

“Hukuman tidak boleh menjadi kolektif dan dikenakan kepada individu yang tidak ada kaitan dengan pelanggaran tertentu.

“Jika seseorang mengambil keputusan kolektif, saya fikir ada alasan untuk menganggap bahawa asas keputusan tersebut tidak peduli tentang kemurnian sukan antarabangsa, tetapi dibuat atas pertimbangan politik yang tidak ada hubungannya dengan kepentingan sukan atau pergerakan Olimpik, “kata Putin. -MalaysiaGazette