Aminuddin Harun

SEREMBAN – Pengerusi PKR Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun meminta Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli supaya menimbangkan semula hasrat beliau untuk bersara dari politik.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata ini kerana beliau adalah seorang tokoh yang mampu ke hadapan lebih jauh dalam arena politik tanah air.

“Kita tidak harus kehilangan tokoh politik yang betul-betul berjuang untuk memastikan bahawa perubahan itu dapat dijalankan dengan baik.

“Saya sebagai sahabat merayu supaya beliau mempertimbangkan semula hasrat beliau itu supaya rakyat negara ini tidak kehilangan seorang yang mampu memberikan pandangan, idea dan semangat untuk melihat bahawa demokrasi itu dapat dijalankan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Mohd Rafizi untuk bersara dari politik.

Pada 15 Nov lepas, Mohd Rafizi dilaporkan berkata beliau tidak berminat untuk kembali aktif berpolitik buat masa sekarang, dan mengatakan dalam tempoh tiga ke empat tahun ini beliau hanya mahu menjadi rakyat biasa.- BERNAMA