Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Gesaan Menteri Industri Utama, Teresa Kok supaya masyarakat Cina memberi layanan baik kepada pekerja asing kerana nenek moyang mereka pernah menjadi buruh asing di Malaysia mencetuskan perbincangan mengenai terma “penjualan anak babi”.

Terma itu pernah digunakan untuk menggambarkan keadaan buruh Cina yang hidup melarat kerana diperdaya atau diperdagangkan ke tempat lain pada kurun ke-19.

Menurut laman web China Sage, buruh-buruh Cina dalam tempoh 1845 hingga 1875 telah dikumpulkan dalam ‘penjara’ yang dikenali sebagai zhu zai guan atau “pusat babi” dalam bahasa Cina, yang juga dikenali “barracoons” sempena terma untuk penjara hamba Afrika.
Teresa dilaporkan menggunakan terma “penjualan anak babi” bagi mengaitkan kehidupan melarat nenek moyang orang Cina Malaysia pada zaman penjajahan dengan keadaan pekerja asing di Malaysia sekarang.

Seorang pengarang kanan berpendapat penggunaan terma ‘anak babi’ bermula dengan pekerja kontrak Cina bagi menggambarkan kehidupan mereka yang teruk di tempat baharu.

Pengarang itu bagaimanapun berpendapat terma itu seperti juga “Nigger” di Amerika kini mempunyai unsur menghina selari dengan perkembangan zaman.

“Seperi di Amerika, perkataan Nigger yang mempunyai unsur menghina telah digantikan dengan Black American dan kemudian Afro American.

“Ia justeru adalah menghina jika menggambarkan nenek moyang orang Cina Malaysia sebagai ‘anak babi’ pada masa ini,” katanya.

Tambahnya, bukan semua orang Cina di Malaysia adalah berasal daripada “buruh kontrak” tetapi ramai yang tiba sebagai “orang bebas”.

“Kami boleh faham niat menteri yang mahu kami menghormati pekerja asing, tetapi kami tidak boleh merendah-rendahkan nenek moyang dan kaum sendiri semata-mata mahu menghormati pekerja asing.

“Nenek moyang orang Cina adalah generasi yang membina negara dan kami adalah Cina Malaysia yang asli,” katanya dalam kolum rencana Sinchew Daily.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon juga membuka tembakan ke atas Teresa dengan menekankan bahawa nenek moyang orang Cina di Malaysia terlibat dalam perjuangan kemerdekaan, satu peranan penting yang tidak dimainkan oleh pekerja asing.

Hang Soon berkata, walaupun beliau memahami niat Teresa yang mahu pekerja asing diberi layanan baik, tetapi menyatakan semua orang Cina sebagai keturunan buruh asing adalah kesilapan pentafsiran terhadap sejarah.

Katanya, orang Cina telah sampai ke Semenanjung seawal Dinasti Tang dan Dinasti Song.

“Dengan meringkaskan sejarah penghijrahan orang Cina kepada akhir Dinasti Qing sambil menyatakan fenomena permerdagangan manusia pada masa itu, ia hanya menunjukkan Teresa tidak berapa faham tentang fakta sejarah,” katanya dipetik China Press.

Teresa bagaimanapun mempertahankan kenyataan awalnya dengan berkata “penjualan anak babi” membabitkan orang Cina adalah fakta sejarah.

“Semua orang yang pernah belajar sejarah tahu bahawa pada akhir abad ke-19 iaitu selepas Perang Candu di China, kuasa-kuasa barat merekruit ‘buruh kontrak Cina’ ke Asia Tenggara.

“Layanan kepada mereka tidak lain seperti melayan seorang hamba, lebih teruk daripada layanan kita kepada pekerja asing pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette