Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof (empat kanan) diiringi Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah (tengah), Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming (tiga kanan), Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC,) Datuk Dr Noraini Ahmad (dua kiri) memotong kek sempena Sesi Makan Malam Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas bersama Media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Seramai tiga ahli parlimen telah memohon agar diberikan tempoh untuk melanjutkan pengisytiharan harta selepas tarikh akhir tamat pada 5 Disember lalu.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, permohonan tersebut hanya dibuat daripada Parti Gabungan Sarawak (GPS).

Beliau berkata, ahli parlimen lain yang gagal mengisytiharkan harta mereka akan dikenakan tindakan penalti.

“Hanya tiga ahli parlimen daripada GPS telah memohon penangguhan dan saya telah membenarkan. Yang lain tidak ada yang mohon dan tindakan penalti akan dikenakan dan biarkan ia menjadi kejutan,” katanya.

Mohamad Ariff berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas dan Pengamal Media: Reformasi & Hala Tuju Parlimen Malaysia 2020 di Parlimen di sini malam ini.

Beliau diminta mengulas tindakan yang dikenakan ke atas ahli parlimen yang gagal mengisytiharkan harta selepas 5 Disember lalu.

Sebelum itu, seramai 62 ahli parlimen pembangkang termasuk bebas dilaporkan tidak mengisytiharkan harta biar pun hari terakhir untuk mereka berbuat demikian.

Ini bermakna mereka berdepan tindakan termasuk digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat atau didenda RM1,000 kerana menghina Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, menjelaskan Ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan harta adalah 36 daripada UMNO, MCA (1), MIC (1), PAS (18), GPS (3), STAR (1) dan dua Bebas.

“Seramai 160 ahli parlimen sudah mengisytiharkan harta mereka iaitu semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) termasuk dua wakil rakyat UMNO, MCA (1), GPS (15), PSB (1), PBRS (1) dan PBS (1).

“Seramai 62 ahli parlimen belum mengisytiharkan harta mereka seperti yang diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada 5 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Ariff menyifatkan ahli parlimen yang enggan mengisytihar harta mereka boleh memberi tanggapan negatif ke atas diri masing-masing.

Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta mereka serta isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam akuan berkanun.

Akuan berkanun itu perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh asal usul terbabit dan salinannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – MalaysiaGazette