Datuk Hans Isaac. foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2019

KUALA LUMPUR: ‘Saya akan jawab semua dakwaan dalam sidang media khas, Khamis.’

Itu reaksi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac apabila diminta mengulas gesaan enam persatuan mewakili penggiat seni tanah air yang mahu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dirinya serta ahli lembaga pengarah Finas yang lain meletakkan jawatan.

Hans berkata, ketika ini, beliau dan ramai pihak sedang meraikan kejayaan pengkarya seni kreatif yang bakal menikmati kenaikan kadar harga bagi karya yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), seperti pengumuman dibuat Gobind semalam.

“Saya dan Finas akan terus fokus dalam memberikan yang terbaik kepada industri seni,” katanya memetik laporan BH Online semalam.

Kelmarin, enam persatuan mewakili penggiat seni tanah air mahu Gobind, Hans serta ahli lembaga pengarah yang lain meletakkan jawatan.

Enam persatuan itu adalah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima); Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM); Persatuan Seniman Malaysia (Seniman); Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit); Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM) dan Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC).

Mengetuai kumpulan itu, Presiden Profima, Khir Mohd Noor mendakwa pihak terbabit gagal menjalankan tugas dengan baik.

Khir juga meminta penjelasan mengenai status Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang dakwanya, menyebabkan banyak urusan di Finas tertangguh sejak ketiadaan Ahmad Idzam.

Pada Isnin lalu, Hans ketika mengesahkan Ahmad Idham memendekkan kontrak perkhidmatan sehingga 10 Mac depan, menafikan ada konflik antara dirinya dan CEO FINAS itu.

Hans menjelaskan hubungan dengan Ahmad Idham adalah baik-baik, tanpa sebarang konflik.

Tambah Hans, andaian konon wujud konflik antara dirinya dan Ahmad Idham mungkin timbul daripada isu yang diperkatakan warganet selepas membaca kenyataan dibuat pelakon dan pengarah filem itu, sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu, penantian pengkarya seni kreatif selama 33 tahun untuk menikmati kenaikan kadar harga bagi karya yang disiarkan menerusi RTM, menjadi kenyataan apabila cadangan itu diluluskan kerajaan.

Dalam satu kenyataan, Gobind dilaporkan berkata, kadar kenaikan itu akan dilaksanakan bermula April tahun depan.

Katanya, kadar kenaikan yang diluluskan itu berdasarkan kategori rancangan iaitu 20 hingga 60 peratus bagi telefilem, 30 hingga 60 peratus (drama bersiri), 10 hingga 30 peratus (penerbitan dokumentari/majalah) dan 30 peratus (animasi bersiri).

Tambahnya, usaha itu dibuat sebagai langkah penambahbaikan industri kreatif tempatan selepas mendengar keluhan penggiat seni, berikutan kadar harga semasa yang ditetapkan pada 1986 tidak pernah dikaji semula selama 33 tahun. – MalaysiaGazette