Baru Bian

KUALA LUMPUR – Para kontraktor bumiputera di negara ini diseru supaya terus berdaya saing dan meningkatkan kemampuan mereka daripada segi teknikal dan kewangan dalam industri binaan global yang kompetitif.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, ia termasuklah menggalakkan mereka meningkatkan pendaftaran ke gred kontraktor yang lebih tinggi.

Katanya, ia penting untuk mempersiapkan mereka supaya mampu melaksanakan projek dan produktiviti binaan yang berskala besar secara konsisten dan lebih berkualiti.

Katanya, seramai 40,804 kontraktor G1 memiliki Perakuan Pendaftaran Kontraktor
(PPK) manakala seramai 24,479 kontraktor G1 telah memperoleh Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK).

“Manakala sejak pendaftaran G1 dibuka semula, sebanyak 3,152 permohonan SPKK dan sebanyak 1,791 permohonan Sijil Taraf Bumiputra (STB) diterima.

“Bagaimanapun kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif yang dapat memperkasakan kontraktorkontraktor tempatan di samping membantu melahirkan lebih ramai kontraktor bumiputera yang berkemahiran dan berdaya saing dalam bidang industri pembinaan,” katanya selepas Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan pertama Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) di Bukit Kiara malam ini.

Turut hadir presiden PKBM, Azman Yusoff serta wakil kontraktor gred G1 dna G2 dari B40 dari setipa negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Baru bagaimanapun berkata, menerusi Belanjawan 2020 lalu, kerajaan akan terus memastikan kebajikan kontraktor bumiputera terjaga dan menambah peluang untuk menyertai perolehan kerajaan dengan meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus tender setiap kementerian dikhaskan untuk kontraktor bumiputera.

Menurutnya, itu sasaran yang ditetapkan kerajaan dalam setiap kementerian termasuk KKR selain kerajaan telah mengkhususkan projek kerajaan bernilai RM1.3 bilion kepada kontraktor bumiputera sedia ada dan baharu berdaftar.

Menyedari hakikat ‘parah’ yang dihadapi kontraktor muda G1 ke atas ketika ini, Baru berjanji akan mengambil perhatian serius perkara itu dan akan membantu merealisasikan kehendak kontraktor  walaupun peruntukan bawah kementeriannya terhad.

“Keadaan industri pembinaan negara masih lagi aktif dan terdapat banyak projek – projek kerajaan Persekutuan sedang dalam pembinaan termasuk projek berimpak tinggi seperti Pan Borneo dan ECRL.

“Kerajaan komited dalam pemerkasaan kontraktor tempatan terutamanya bumiputera keranaan peningkatan
keupayaan kontraktor pembinaan memberi impak yang besar dalam agenda pembangunan nasional yang
ingin dicapai melalui peningkatan produktiviti dalam industri pembinaan.

“Di dalam era perubahan teknologi yang sangat dinamik terutamanya di zaman IR4.0 ini, cabaran yang dihadapi juga semakin kompleks dan mencabar.

“Justeru, saya menyeru para kontraktor yang hadir pada hari ini terutamanya kepada golongan belia agar terus
meningkatkan produktiviti, kemahiran dan pengetahuan masing–masing dalam industri pembinaan melalui
penggunaan teknologi terkini dan merebut peluang yang ada bagi meningkatkan daya saing di peringkat
dunia global,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Azman berkata, tahun ini jumlah kontraktor muda dalam kalangan bumiputera menyaksikan peningkatan lebih 1,000 orang sambil menyatakan harapan kepada kerajaan supaya lebih banyak kontrak ditawarkan mulai tahun 2020 memandangkan situasi kontraktor di seluruh negara ‘parah’ tanpa projek binaan yang banyak.- MalaysiaGazette