KUALA LUMPUR – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menurunkan unjuran keuntungan bersih industri itu bagi 2019 kepada US$25.9 bilion daripada US$28 bilion namun dijangka meningkat semula kepada US$29.3 bilion tahun depan, didorong jumlah penumpang dan kargo lebih baik.

Menurut IATA, industri ini akan mencatatkan keuntungan bagi 11 tahun berturut-turut jika angka tersebut dapat dicapai.

“Kelembapan pertumbuhan ekonomi, perang perdagangan, ketegangan geopolitik dan sosial yang berpanjangan di samping ketidaktentuan Brexit yang berlarutan, semua ini mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih sukar berbanding jangkaan bagi syarikat penerbangan.

“Industri, bagaimanapun dapat mencapai keuntungan dalam tempoh sedekad, serta membayar dividen susulan penstrukturan semula dan pengurangan kos,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac, dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata namun persoalan besar bagi 2020 adalah mengenai peningkatan kapasiti, khususnya apabila pesawat 737 MAX yang dilarang terbang kembali memulakan semula perkhidmatan serta kelewatan penyerahan tiba.

Mengulas mengenai pemacu prestasi pada 2020, beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dijangka berkembang 2.7 peratus pada 2020 berbanding 2.5 peratus pada 2019.

“Pertumbuhan perdagangan dunia dijangka meningkat semula kepada 3.3 peratus daripada 0.9 peratus pada 2019, memandangkan tekanan pilihan raya di Amerika Syarikat turut mendorong ketegangan perdagangan menjadi reda. Pertumbuhan juga disokong oleh langkah bank-bank pusat selain kelonggaran dasar fiskal,” katanya.

Sementara itu, perolehan daripada penumpang mengikut kilometer (RPK) dijangka meningkat 4.1 peratus pada 2020, sejajar dengan pertumbuhan 4.2 peratus pada 2019.

Tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) diunjurkan meningkat 4.7 peratus pada 2020 memandangkan penyerahan pesawat meningkat secara ketara, menyebabkan faktor muatan susut kepada 82 peratus daripada 82.4 peratus pada 2019.

Ini akan terus memberi tekanan ke atas hasil, yang dijangka susut 1.5 peratus selepas turun 3.0 peratus pada 2019, menurut IATA.

Persatuan itu berkata perolehan penumpang — tidak termasuk sampingan — dijangka mencecah US$581 bilion, naik 2.5 peratus daripada US$567 bilion pada 2019.

Trafik kargo turut diunjurkan meningkat semula secara sederhana dengan pertumbuhan dua peratus pada 2020.

“Hasil akan terus susut dengan jangkaan penurunan 3.0 peratus pada 2020 — peningkatan berbanding penurunan 5.0 peratus pada 2019,” menurut IATA.

Selain itu perolehan kargo dijangka turun dengan prospek nilai perolehan berjumlah US$101.2 bilion, turun 1.1 peratus daripada 2019.

Mengenai prospek berdasarkan rantau, IATA berkata Afrika, Timur Tengah dan Amerika Latin dijangka mengalami kerugian pada 2019 namun syarikat penerbangan di Amerika Latin kembali untung pada 2020 didorong ekonomi serantau mengukuh.

Syarikat penerbangan Amerika Utara terus mendahului dari segi prestasi kewangan, dengan 65 peratus daripada keuntungan industri pada 2019 dan sekitar 56 peratus daripada pendapatan agregat pada 2020, kata IATA.

“Syarikat penerbangan Asia-Pasifik akan menyokong prestasi industri menerusi pemulihan sederhana bagi perdagangan dunia dan kargo udara, diunjurkan mencatatkan keuntungan bersih US$6.0 bilion pada 2020 (meningkat daripada US$4.9 bilion pada 2019) bagi 2.2 peratus margin bersih,” menurut persatuan itu.

IATA berkata Asia kekal sebagai pusat pembuatan dunia manakala perolehan daripada penghantaran barangan akan menyumbang kepada perkadaran ketara jualan bagi kebanyakan syarikat penerbangan di rantau itu.

“Bagaimanapun perang perdagangan dijangka ditangguhkan, tarif perdagangan pula tidak berubah, susulan itu peningkatan jumlah perdagangan dan kargo adalah sederhana, dengan keuntungan bersih daripada setiap penumpang diunjurkan US$3.34,” kata IATA. – MalaysiaGazette