Projek Solar Berskala Besar (LSS) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Mukim Tanjung 12, Sepang, Selangor telah dimula tugas dan menyumbang tenaga boleh baharu (RE) ke grid nasional pada tengah malam 23 November tahun lalu. foto TNB

MELAKA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggalakkan syarikat swasta serta jabatan dan agensi kerajaan untuk menggunakan panel solar bagi menjana bekalan tenaga untuk mencapai matlamat bandar rendah karbon serta menjimatkan.

Ketua Pegawai Retail TNB Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB masih dalam peringkat perbincangan dengan kerajaan negeri Melaka serta beberapa syarikat swasta bagi merealisasikan hasrat itu.

Katanya, TNB telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat tempatan, Subitec Sdn Bhd bagi pemasangan panel solar dan ia dilihat berupaya menjadi pemangkin kepada syarikat lain di negeri ini bagi mengadaptasikan pembangunan lestari.

“Menerusi perjanjian ini juga bakal menyaksikan penjimatan bil elektrik bernilai RM1 juta yang akan dinikmati syarikat (Subitec Sdn Bhd) dalam tempoh 25 tahun melalui pemasangan 150kWp panel solar fotovoltaik (PV) di bumbung kilang mereka di Ayer Keroh.

“Kami yakin projek ini menjadi permulaan terbaik kepada kerjasama mampan ini selain menyokong setiap usaha ke arah merealisasikan sasaran tenaga boleh diperbaharui, sekali gus memelihara alam sekitar melalui penjanaan berkesan tenaga hijau,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian bekalan tenaga boleh diperbaharui (SARE), di pejabat TNB Banda Kaba, di sini, malam tadi.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, TNB diwakili Megat Jalaluddin manakala Subitec diwakili Pengarah Urusannya Datuk Abidin Md Napis dan anak syarikat milik penuh TNB Renewables, GSPARX Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Faiz Md Yusof.

Menurut Megat Jalaluddin, sebelum ini TNB dan GSPARX telah menandatangani SARE dengan beberapa organisasi seperti sekolah, universiti swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemaju perumahan di beberapa negeri antaranya di Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Perjanjian SARE ini juga seiring dengan inisiatif diperkenalkan kerajaan yang menganjurkan Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 dengan sasaran mempercepatkan transformasi bandar-bandar di Malaysia ke arah bandar karbon rendah.

“Di samping mencapai sasaran 20 peratus penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebelum tahun 2025,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.