Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. .foto FAREEZ FADZIL

GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) hari ini memperkenalkan program ‘Nurture for Betterment’ untuk membantu pesalah dadah yang dikenakan sekatan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, program ini yang diadakan serentak di seluruh negara, bertujuan membantu pesalah kembali ke pangkal jalan apabila mereka akan dikumpulkan dalam satu perjumpaan yang disusuli sesi kaunseling sebagai medium interaksi berkesan dalam mengelakkan mereka kembali terjebak dengan dadah.

“Kita mahu membawa mereka kembali kepada masyarakat dan pastikan mereka sentiasa berasa dekat dengan kita. Saya turut bersimpati apabila melihat keadaan di mana masyarakat tidak mahu menerima mereka.

“Kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku, justeru, program ini turut mempunyai panduan untuk mereka mendapatkan pekerjaan,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan program itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Setakat ini, terdapat 735 pesalah yang dikenakan sekatan di bawah LLPK 1985 di seluruh negara dengan jumlah tertinggi adalah di Johor, iaitu 103 orang, diikuti Perak 100 orang, Selangor (90), Kedah (79), Pahang (66), Negeri Sembilan (45), Melaka (44), Pulau Pinang (43), Kelantan (34), Terengganu (32), Kuala Lumpur (31), Sabah (26), Sarawak (23) dan Perlis (19).

Mohd Khalil berkata, daripada jumlah itu, seramai 16 pesalah dikenal pasti melanggar syarat sekatan menerusi Ops Junk Devil 2.0 selama dua hari pada 6 dan 7 Dis lepas.

“Mereka ini perlu dibentuk sebaik mungkin supaya mereka tidak lagi kembali sebagai tokan, pengedar dan sebagainya. Kita bukan sahaja mahu beri pendidikan kepada mereka tetapi mahu mereka berubah dengan cara menjadikan mereka sebagai sahabat,” katanya sambil menambah satu sesi interaksi dengan pesalah akan dibuat setiap empat bulan dalam memastikan ia mampu mencapai matlamat seperti dirancang. – Bernama