Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hari ini menimbang  tindakan undang-undang terhadap Muhammad Yusoff Rawther yang merupakan bekas penyelidik Presiden PKR.

Dalam satu kenyataan, Farhash berkata, Yusoff telah melakukan fitnah ke atas dirinya semasa satu sidang media pada 4 Disember lalu.

“Saya meneliti transkrip sidang media oleh Yusoff baru-baru ini, apa yang dikatakannya adalah subjudis dan berbaur fitnah.

“Oleh itu saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan apa yang disebut olehnya sewaktu sidang media yang disiarkan di laman facebook “Solidariti Buat Muhammad Yusoff Rawther” pada 4 Disember 2019,” katanya, hari ini.

Bekas penyelidik Anwar, Yusoff dalam akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 November mendakwa menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah.

BACA: ‘Pendedahan’ Muhammad Yusuff bertujuan cemar imej PKR – Farhash

Muhammad Yusuff Rawther 

Menurut Yusoff, kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Kejadian dipercayai berlaku pada hari kelima kempen PRK Port Dickson.

Anwar semalam selesai merakamkan keterangan di Bukit Aman berhubung berhubung dakwaan salah laku seksual terhadapnya.

Presiden PKR itu tiba di sana kira-kira pada pukul 3.40 petang dan beredar kira-kira pada pukul enam petang. -MalaysiaGazette