KUALA LUMPUR – Kecoh di laman sosial apabila tular beberapa rakaman yang memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi warna biru merempuh beberapa kenderaan lain.

Ketika kejadian, kereta itu melalui jalan yang agak sesak menyebabkan pemandunya melakukan tindakan yang tidak wajar.

Dakwaan beberapa netizen di Twitter, kejadian berpunca daripada insiden samun dan penjenayah yang memandu kereta Myvi berkenaan cuba melarikan diri.

Disebabkan itu, pemandunya bergegas memandu kenderaan itu dan melanggar beberapa kereta orang awam.

Menerusi rakaman tersebut kelihatan beberapa individu yang menaiki motosikal berusaha mengejar bagi menghentikan tindakan pemandu kereta Myvi berkenaan.

Bagaimanapun, suspek dipercayai berjaya diberkas oleh orang ramai.

Namun, suspek dikatakan dilindungi oleh beberapa orang awam yang meminta agar tidak melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya kepada suspek.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya telah menahan pemandu terbabit yang merupakan petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian pukul 4.50 petang semalam, saksi seorang penghantar makanan yang telah merakam video mendakwa pemandu kereta Perodua Myvi itu telah menolak keluar mangsa seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) daripada pintu depan kiri kenderaan berkenaan.

“Selepas itu, saksi mengejar pemandu berusia 25 tahun untuk mengarahkan memberhentikan kenderaan, namun dia terus melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan.

Ujarnya, kereta yang dinaiki lelaki itu telah melanggar beberapa kereta di sepanjang Jalan Pudu.

“Lelaki berkenaan kemudian telah di tahan oleh orang awam di Jalan Brunei Utara pada jam 5.20 petang.

“Kita kemudian telah membawa lelaki tersebut ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD berkenaan,” tambah beliau.

Zulkefly memaklumkan pihak IPD Dang Wangi sedang menjalankan siasatan lanjut tentang kejadian sebenar OKU berkenaan di tolak daripada kereta tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.