Kawasan Tebing Barat yang turut menderita tidak aman.

BAITULMAQDIS – Sebanyak 22 buah bangunan milik Palestin di Tebing Barat dimusnahkan oleh tentera Israel sejak dua minggu lalu kerana didakwa tidak mempunyai permit bangunan.

Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menerusi laporan dua minggu sekali mengenai pelanggaran hak asasi manusia Israel memaklumkan, keadaan itu telah mengakibatkan lebih 800 orang penduduk terjejas.

Menurut OCHA, separuh daripada struktur yang dirobohkan di Tebing Barat sebelum ini merupakan pusat bantuan kemanusiaan.

“Kemudian, lapan struktur lain yang terletak di kawasan yang diisytiharkan tutup untuk latihan ketenteraan Israel (zon menembak),” katanya.

Pada hujung bulan lalu, tentera Israel menghancurkan empat buah rumah di Beit Kahil, Hebron hingga mengakibatkan 15 orang hilang termasuk enam kanak-kanak.

Insiden tersebut telah mencetuskan perbalahan dengan pasukan keselamatan Israel sehingga mengakibatkan enam warga Palestin cedera. – MalaysiaGazette