Mohd. Fadzil Hashim

PUCHONG  – Langkah pengasas pusat beli belah, Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim membawa 11 jenama terkenal dari China ke Malaysia bukan untuk memperdaya orang ramai mengenai barangan Buy Muslim First (BMF) yang bakal dijual di pusat beli belah pertama di Malaysia itu tetapi memberi lebih pilihan kepada pengguna.

Beliau berkata, secara asasnya kempen BMF mempunyai empat peringkat iaitu yang pertama produk itu mesti dimiliki dan dijual oleh orang Islam; kedua produk bukan Islam dijual orang Islam; ketiga produk milik orang Islam dan dijual bukan Islam serta terakhir produk bukan Islam dan dimiliki bukan Islam.

“Isu kenapa kita masih mengambil barang dengan China ialah kerana mereka ialah kuasa dunia yang tiada bandingan dari segi kekuatan, ada orang tanya kenapa tidak beli dari Indonesia, kalau orang masih tidak tahu 90 peratus ekonomi di Indonesia masih dikuasai oleh bukan Islam. Jenama memang berbunyi Islam tetapi pemilikannya belum tentu lagi.

“Tetapi di sini yang penting kita janjikan di Malakat Mall ialah pemilikannya 100 peratus ialah Muslim,” katanya yang dipetik daripada Malakat Tribune.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Terbuka Tadika Rakyat di Taman Putra Perdana di sini hari ini.

Mohd. Fadzil baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama 11 jenama terkenal di Yiwu, China untuk segmen ASEAN Market Gateway (AMG).

Mohd. Fadzil berkata, menerusi usaha itu membolehkan AMG memiliki dan mendapat hak eksklusif untuk memasarkan jenama terkenal tersebut di Malaysia dan Indonesia.

Menyentuh lebih lanjut, katanya, dengan hak eksklusif yang diperoleh itu, pihaknya turut membuka peluang kepada usahawan Muslim untuk memasarkan produk tersebut meskipun tidak memiliki modal yang besar.

“Siapa yang miliki Levis di Malaysia? Ia tidak dimiliki oleh Amerika tetapi ada orang yang pegang hak Levis. Untung tak orang itu? Sudah pasti untung.

“Sekarang jenama-jenama dari China ini memberikan hak eksklusif kepada kita dan sudah pasti kita akan berikan kepada orang Islam sahaja.

“Ini merupakan peluang dan ruang, bukan bermaksud saya seorang sahaja yang kaya dan miliki 100 peratus tetapi siapa-siapa yang hendak boleh datang ke Malakat Mall, malah yang hanya ada modal kecil pun boleh miliki jenama ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fadzil turut meluahkan kekecewaannya terhadap sambutan dingin pemilik jenama-jenama terkenal Muslim tempatan dalam menjayakan Malakat Mall.

“Untuk kita mewujudkan sebuah pusat beli belah kita tidak boleh jual makanan,  baju kurung, pakaian muslimah atau pakaian orang Islam sahaja, tetapi kita juga perlu barangan seperti kasut sneakers, kasut sukan, baju kemeja dan lain-lain.

“Sebenarnya kita sudah panggil pemilik-pemilik bumiputera yang menjual barangan ini untuk buka di Malakat Mall tapi hingga sekarang tidak ramai yang datang. Ada banyak jenama-jenama besar orang Islam yang saya sendiri pelawa untuk masuk ke Malakat Mall tetapi mereka tidak mahu masuk.

“Macam mana saya hendak lakukan, tak kan saya hendak paksa mereka. Jadi saya minta warga maya faham masalah kita ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ape masaalah nya? Kenape mereka tidak mau mask ke Malakat Mall,
    seolah oleh tidak mau sambut seruan BmF..?

Comments are closed.