WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengusir dua pegawai dari Kedutaan China awal tahun ini selepas mereka memasuki pangkalan tentera, lapor New York Times yang memetik sumber sebagai berkata.

Dua pegawai itu dipercayai pegawai perisik yang beroperasi di bawah perlindungan diplomatik.

Menurut akhbar itu, kedua-dua pegawai China itu telah melanggar keselamatan di pangkalan tentera di Virginia dan hanya berhenti apabila lima trak senjata digunakan untuk menghalang laluan mereka.

Sumber penguatkuasaan undang-undang mengesahkan laporan New York Times ini benar.

Bagaimanapun, Biro Siasatan Persekutuan enggan mengulas.

Meskipun punca sebenar mengapa dua pegawai berkenaan berada di pangkalan tentera di Norfolk, Virginia tidak diketahui, tetapi pegawai AS percaya mereka mungkin menguji tahap keselamatan di sana.

Namun, apabila mereka berjaya ditahan, kedua-duanya menyatakan kepada pengawal tentera bahawa mereka telah sesat.

Seminggu kemudian, pada 16 Oktober, Jabatan Negara mengeluarkan peraturan baru mengenai diplomat China yang menghendaki mereka memberi keterangan kepada jabatan sebelum mengadakan pertemuan dengan pegawai tempatan atau negeri, atau dengan institusi pendidikan dan penyelidikan.

Sejak kebelakangan ini, AS telah meningkatkan usaha untuk membanteras kebimbangan mengenai perisikan China.

Para penyiasat telah meminta universiti-universiti AS supaya lebih berhati-hati dengan penuntut dan sarjana lawatan China. – MalaysiaGazette