KUALA LUMPUR – Persidangan bantah tulisan Jawi di sekolah vernakular oleh Persatuan Dong Jiao Zong pada 28 Disember ini boleh mencetuskan perpecahan kaum.
Justeru, jika perkara itu berlaku, persatuan terbabit harus bertanggungjawab dan wajar dipersalahkan sepenuhnya.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir menegaskan, kerajaan tidak wajar berdiam diri sebaliknya perlu bertindak menghentikan persidangan yang akan diadakan itu.
“Perbuatan Dong Jiao Zong ini dilihat sebagai usaha memecah belahkan kaum semata-mata, sedangkan isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular telah diberi kelonggaran dengan memberikan pilihan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), ibu bapa dan murid sama ada untuk mempelajarinya atau tidak.
“Saya kira tidak sewajarnya isu pengenalan tulisan Jawi ini mendapat bantahan lagi dengan kelonggaran yang telah diberikan.
“Oleh itu, kerajaan perlu menarik balik kelebihan yang telah diberikan kepada Persatuan Dong Jiao Zong yang semakin berani menentang keputusan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shaharizukarnain, sehingga kini, persatuan itu masih tidak berhenti mendesak kerajaan bagi mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Tuntutan itu, ujar beliau, secara diam-diam diteruskan sehingga melibatkan sesi libat urus kepada ahli parlimen.
Katanya, keseluruhan ahli yang terlibat dalam usaha pengiktirafan sijil UEC mencecah seramai 406 orang dan jelas sekali usaha tersebut bertentangan dengan polisi kerajaan.
“Tambahan pula peruntukan Belanjawan 2020 bagi Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang kian meningkat seolah mempamerkan kerajaan menyokong segala tindak tanduk persatuan itu.
“Walaupun jelas sekali SMPC tidak layak mendapat apa-apa bantuan dari kerajaan setelah menolak untuk bersama dalam sekolah pengiktirafan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















