Wabak polio, campak perlu diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan. Gambar hiasan

SETELAH hampir tiga dekad, Malaysia digemparkan lagi dengan isu virus polio yang telah menimpa seorang kanak-kanak di Sabah. Menurut rekod kesihatan Malaysia, kes terakhir polio yang melanda negara ini adalah pada tahun 1992.

Walaupun baru mempunyai satu kes, ia sudah cukup membimbangkan rakyat terutama buat ibu bapa yang mempunyai anak kecil kerana polio merupakan penyakit yang berjangkit
dan boleh membawa maut.

Antara penyebab yang membolehkan berlakunya polio adalah kerana kanak-kanak tidak mendapat vaksin yang sepatutnya, seperti vaksin inactivated poliovirus vaccine yang khusus bagi mencegah virus polio.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, sesebuah negara perlu mencapai 95% imunisasi untuk bebas daripada wabak-wabak penyakit yang berbahaya.

Namun begitu, peratusan ini telah berkurang akibat daripada golongan anti vaksin yang tumbuh seperti cendawan. Hal ini menjadikan negara lebih mudah diserang oleh virus-virus yang boleh meragut nyawa.

Justeru itu, jika pihak kementerian tidak mengambil langkah segera, selain virus polio, keberangkalian untuk Malaysia diserang oleh wabak penyakit demam campak juga amat tinggi.

Perkara ini akan menjadi lebih rumit jika kedua-dua wabak ini semakin berleluasa. Ini kerana, ia bukan sahaja akan mengancam
nyawa, malahan akan menyebabkan populasi rakyat Malaysia merundum. Di mana, pada masa kini jumlah kelahiran bayi di Malaysia semakin berkurangan.

Oleh itu, pihak kerajaan dan penggubal polisi seharusnya bertindak pantas dalam merangka polisi yang dapat membendung masalah sebegini.

Mengambil contoh dari negara Australia, mereka telah mewujudkan satu polisi terhadap anti-vaksin.

Kerajaan Australia akan menghentikan segala bantuan
yang diberikan kepada ibu bapa yang tidak vaksin anak-anak mereka.

Maka, sebelum wabak ini menjadi lebih kritikal, Malaysia sewajarnya mengambil langkah proaktif kerana mencegah itu lebih baik daripada merawati. – MalaysiaGazette

Ajda Nuha binti Ahmad Daniel, Pelajar Jurusan Sains Kemanusiaan