MIT

KUALA LUMPUR – Pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan di Sabah meningkat sebanyak lebih daripada 84 peratus kepada RM890.7 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019 berbanding RM140.9 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan dan Industri Sabah dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, setakat Jun 2019, sejumlah 776 projek pembuatan dengan pelaburan bernilai RM19.9 bilion telah diluluskan dan dilaksanakan di negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) MITI, Hairil Yahri Yaacob berkata, projek itu – terutamanya dalam pembuatan makanan, minuman dan tembakau, tekstil dan produk tekstil, kayu dan produk kayu serta perabot dan lengkapan — mewujudkan lebih 91,800 peluang pekerjaan di negeri tersebut.

“Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Sabah menarik pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan berjumlah RM890.7 juta yang mana RM744.6 juta adalah pelaburan domestik yang merupakan 83.5 peratus daripada jumlah pelaburan dilulus Sabah dalam sektor pembuatan semasa tempoh tersebut.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pemegang kepentingan relevan, termasuk kerajaan negeri dan agensi kerajaan menerusi pelbagai inisiatif untuk menarik lebih banyak pelaburan ke semua negeri di Malaysia.

“Kami menjalankan banyak program capaian untuk memudahkan perniagaan di Sabah tahun ini. Sebagai contoh, di bawah inisiatif SME Investment Desk kami, MIDA Sabah telah menghubungi syarikat-syarikat di Kota Kinabalu, Kudat, Tenom, Keningau dan Labuan antara lainnya untuk berkongsi maklumat mengenai kemudahan dan insentif yang ada untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Seminar Pelaburan Sabah itu yang dianjurkan bersama oleh MIDA, MITI dan Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan Perindustrian (Sabah), dihadiri lebih 300 peserta daripada pelbagai bidang termasuk pengilang da penyedia perkhidmatan. – MalaysiaGazette