Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda (kiri) menyerahkan Buku Kaji Selidik Keperluan Perumahan Anggota kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ismail Bakar (kanan) selepas melancarkannya pada Majlis Perasmian Sempena Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan membuat semakan gaji penjawat awam setiap lima tahun sekali.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, semakan itu penting bagi membolehkan penjawat awam menikmati kenaikan gaji selaras dengan kos sara hidup yang tinggi masa kini.

“Kita berharap sangat kerajaan melihat cadangan ini. Pentingnya gaji penjawat awam ini disemak setiap lima tahun sekali, yang kenaikkannya diukur menerusi prestasi dan pencapaian kerja mereka.

“Kalau kaedah ini dibuat untuk kenaikan gaji, kita yakin bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam dan keluarga mereka, malah sudah tentulah manfaat ini akan terus masuk dalam pasaran ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 di Shah Alam Convention Centre hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ismail Bakar.

Azih yang memegang jawatan Presiden Cuepacs sehingga akhir bulan ini berkata, sepanjang tempoh kepimpinan bahari 2019 hingga 2022, beliau menaruh harapan landskap kehidupan penjawat awam akan lebih baik.

Banyak resolusi dikemukakan Cuepacs untuk menjaga dan membela kebajikan penjawat awam, bermula berjuang dari keperluan gaji, kos harga barang yang mahal, kos sara hidup semakin tinggi, perumahan, pendidikan, tanggungan dan perubatan.

“Inilah antara perkara yang paling mencabar kepada penjawat awam, dan akan diperjuangkan secara berterusan oleh Cuepacs,” katanya.

Mengenai gaji asas, jelas Azih, pihaknya berharap kerajaan dapat melihat isu itu dalam konteks yang berbeza, di mana penjawat awam ini dibayar gaji berdasarkan jawatan.

“Dalam masa sama juga kita tengok gaji asas RM1,200 yang diterima penjawat awam ini sudah menyamai dengan gaji sektor swasta.

“Apa yang kami harapkan, kerajaan dapat menimbangkan kenaikan gaji untuk penjawat awam ini dan kami yakin bila kenaikan gaji ini berlaku, mereka akan dapat membelanjakan pendapatan ini dan akan merancakkan lagi ekonomi negara.

“Jika rakyat berbelanja, ini secara tidak langsung akan membantu mengembangkan ekonomi kita, di mana bila ekonomi berkembang, semua dapat menjana pendapatan melalui pekerjaan masing-masing,” katanya.

Beliau turut menyifatkan gaji penjawat awam masa kini agak tepu iaitu tidak boleh berbelanja lebih, selain cukup untuk membayar utiliti seperti bil elektrik, air, telefon dan pembentungan.

“Perbelanjaan untuk makan minum di rumah pun (bertahan) sehingga dua minggu sahaja. Untuk berbelanja keperluan anak-anak sudah tidak boleh.

“Mengikut kajian kami, bagi individu bujang memerlukan pendapatan sebanyak RM2,640 kalau hidup di Lembah Klang. Jumlah ini untuk hidup seorang sahaja. Kalau berkeluarga, sekurang-kurangnya Perlu gaji RM4,200.

“Itu kalau mereka tinggal di rumah sewa dan mempunyai seorang, manakala isteri tidak bekerja,” katanya.

Mengenai cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Hanipa Maidin untuk mengurangkan lima peratus penjawat awam, Azih menjelaskan, Cuepacs tidak bersetuju.

Bagaimanapun, katanya, apa yang difahamkan oleh Cuepacs ialah pengurangan lima peratus bagi jawatan yang tidak diisi melebihi dua tahun.

“Apa yang kami fahamkan, pengurangkan lima peratus iaitu adalah perjawatan yang tidak diisi, bukan nak kurang 80,000 dari 1.65 juta jumlah penjawat awam yang ada.

“Maksudnya, pos (jawatan) yang tidak diisi hendak dikurangkan.. kalau tak isi dua tahun, tarik balik jawatan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast