Arteta bakal diumum sebagai pengurus kelab lamanya Arsenal dalam masa 48 jam lagi.

LONDON – Mikel Arteta bakal diumumkan sebagai Pengurus baharu Arsenal dalam tempoh terdekat ini, dakwa laporan eksklusif Daily Mail di London hari ini.

Pengarah kelab the Gunners, Josh Kroenke kembali ke Amerika Syarikat selepas meluluskan tawaran kontrak bernilai 5 juta pound semusim.

Kepulangan Arteta ke Stadium Emirates dikatakan berada pada tahap akhir ekoran perbincangan pegawai tertinggi kelab itu iaitu Raul Sanllehi sebagai pengarah teknikal serta pengarah urusannya, Vinai Venkatesham dan ketua operasi bola sepak Huss Fahmy.

Kroenke anak kepada pemilik Arsenal iaitu Stan telah meluangkan masa panjang di England untuk membantu kelab memuktamadkan rundingan pelantikan Arteta selepas pemecatan Unai Emery awal Disember ini.

Arteta yang juga merupakan bekas pemain kelab itu dijangka akan bersama Arsenal dalam aksi Sabtu ini menentang Everton.

Pep Guardiola mengesahkan pembantunya Arteta telah mengadakan perbincangan bersama bekas kelabnya Arsenal untuk mengambil alih tugas pengurus the Gunners.

Arteta pernah beraksi bersama Arsenal selama enam musim sebelum bersara dan menyertai Manchester City sebagai jurulatih di bawah pengurus Pep Guardiola.

Laporan di Sepanyol juga menyokong yang Arteta mengidamkan jawatan itu dan sudah bersiap sedia meninggalkan peranan sebagai orang nombor dua di Man City.

Difahamkan, Arteta telah membincangkan potensi kontrak bertempoh tiga tahun setengah bersama Arsenal.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman menguruskan kelab, Arteta namun difahamkan beliau akan menuntut gaji pakej hampir mencecah 5 juta pound seperti yang pernah diterima Emery sejak dua musim lalu.

Manakala Arteta juga dilaporkan memerlukan pegawai dan kakitangan sokongan yang berpengalaman untuk membantu beliau menguruskan the Gunners nanti.

Beberapa pembantu jurulatih dan pegawai sedia ada di Man City iaitu Domenec Torrent, Rodolfo Borrell juga dicadangkan akan mengikut Arteta ke stadium Emirates.

Semalam, Pep Guardiola mengesahkan Arteta akan bersama beliau menjelang aksi suku akhir Piala Carabao di Oxford United namun status mengisi jawatan pengurus di Arsenal bakal diketahui dalam tempoh 48 jam lagi.

“Dia masih setia bersama kelab tanpa sebarang masalah setakat ini, dia tahu apa dia mahukan tetapi pada akhirnya keputusannya di tangan dia (Arteta),” kata Pep.-MalaysiaGazette