Abdul Jalil Rasheed

KUALA LUMPUR- Saiz pasaran tempatan yang tidak berubah sejak 20 tahun lalu menyukarkan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) untuk memperoleh pulangan pelaburan yang lebih baik sedangkan saiz dana firma tersebut telah berkembang lebih 10 kali ganda dalam tempoh berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jalil Rasheed berkata, saiz dana PNB berkembang dengan pesat di mana hari ini ia sebanyak RM311 bilion sedangkan pada tahun 1998 saiznya hanya RM98 bilion.

“Saiz (dana) meningkat lebih 10 kali ganda dalam tempoh 20 tahun tetapi pasaran saham di Malaysia masih tidak berubah.

“Tambahan pula pada tahun 1998 pasaran saham tempatan agak stabil di mana tiada isu geopolitik dan kemeruapan seperti sekarang.

“Malaysia pula ketika itu merupakan antara pasaran saham yang terbesar di Asia Tenggara.

“Tetapi dalam tempoh 20 tahun yang lalu, China telah mengambil alih dan menjadi pasaran terbesar, di samping itu banyak negara lain mengatasi Malasyia contohnya India, Korea dan Taiwan yang memiliki pasaran saham yang lebih besar.

“Jadi, kita tidak boleh menggunakan perbandingan situasi pada tahun1998 dengan sekarang (untuk mengukur kadar penggagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai perbandingan yang dibuat oleh banyak pihak yang mengatakan ASB mampu memberikan agihan pendapatan sebanyak 8.5 peratus (tidak termasuk bonus 2.5 peratus) pada 1998 sedangkan Malaysia ketika itu mengalami kegawatan ekonomi.

Tetapi pada tahun ini ASB hanya mampu membayar agihan pendapatan sebanyak 5.5 peratus sahaja (termasuk bonus 0.5 peratus).

Tambah Jalil, agihan pendapatan yang rendah tidak dapat dielakkan kerana majoriti atau kira-kira 65 peratus pelaburan PNB adalah di dalam pasaran saham tempatan.

Namun begitu, pelbagai inisiatif telah dan sedang digerakkan supaya pelaburan firma pengurus dana terbesar di Malaysia itu tidak hanya tertumpu di pasaran saham tempatan sahaja.

Ini termasuk dengan menyusun semula portfolio serta meningkatkan pelaburan di luar negara.

Katanya, hasil daripada inisiatif tersebut, ia dapat dinikmati oleh pemegang-pemegang unit ASB apabila menerima agihan pendapatan sebanyak 5.5 peratus pada tahun ini.

Jelasnya, kadar berkenaan adalah lebih baik jika dibandingkan dengan prestasi FBMKLCI serta deposit tetap.

“Selagi harga saham tidak naik, sukar untuk kami memberi agihan yang tinggi. Agihan pendapatan yang diumumkan pada hari ini adalah hasil yang diperoleh sepanjang tahun.

“Ia datang daripada keuntungan dan bukannya modal pelaburan. Ini penting kerana ia mencerminkan kemampuan sebenar PNB untuk membayar dividen kepada pemegang unit dan ia juga penting kerana menunjukkan PNB mampu memberi pulangan dalam jangka masa panjang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai rancangan untuk mempelbagai pelaburan pada masa hadapan, Jalil berkata, para pemegang unit tidak perlu risau kerana PNB sentiasa berpegang teguh kepada urus tadbir yang baik.

Setiap keputusan pelaburan akan melalui proses pernilaian yang sangat ketat, katanya lagi. – MalaysiaGazette