KUALA LUMPUR – Seramai 40 Peserta Rancangan Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh, Kelantan menyerahkan memorandum membantah keputusan Felcra Berhad membuka tawaran tender terbuka untuk penjualan pokok getah.
Kumpulan itu yang sempat mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELCRA Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor mahu agensi berkenaan membatalkan tawaran tender berkenaan, sebaliknya menyerahkan kepada Koperasi Peserta Rancangan (KPR) Teratak Batu untuk menguruskannya.
Menurut wakil peserta, Saroji Mokhtar, 73, lebih 100 peserta rancangan Felcra itu tidak bersetuju dengan tindakan Felcra Berhad membuat tawaran tender secara terbuka berhubung penjualan kayu getah di ladang Cabang Tongkat seluas 334.824 hektar itu.
“Kita datang ini untuk menuntut Felcra Berhad supaya kaedah pengeluaran atau penjualan kayu getah ini diberi secara runding terus kepada KPR sebagaimana permohonan asal kami.
“Tetapi tiba-tiba pada 16 Disember lalu, kami menerima surat dari Felcra Berhad bahawa pengeluaran atau penjualan kayu getah ini dibuat secara tawaran tender terbuka.
“Maka peserta tidak berpuas hati kerana ladang itu atau pokok getah itu menjadi milik mutlak peserta. Kami telah melangsaikan kos pembangunan sejak 31 Disember 2009 lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Wisma Felcra di sini, hari ini.

Menurut Saroji, mereka mengharapkan pengeluaran kayu getah itu dibuat secara runding terus oleh KPR Teratak Batu supaya keuntungan dari penjualan itu dapat masuk tabung Jawatankuasa Kemajuan Projek (JKP) dan diagih sama rata kepada peserta yang rata-rata pesara dan bekerja kampung untuk menampung kos sara hidup.
Katanya, jika diadakan secara tender terbuka, koperasi mereka tidak akan mendapat apa-apa daripada hasil penjualan itu, yang menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan untuk membantu peserta.
“Kalau koperasi yang urus dari segi penjualan kayu getah itu, sekurang-kurangnya keuntungan itu dapat disumbangkan sedikit kepada tabung JKP mengikut rundingan antara jawatankuasa itu dengan koperasi.
“Kedatangan kami ke sini juga, keduanya, untuk menyelesaikan rentetan rundingan masalah ini yang berlarutan sehingga tiga tahun, menyebabkan kualiti pokok makin berkurangan dan ada di kalangan peserta menebangnya secara persendirian.
“Ini implikasi yang kita hadapi hari ini. Sudah tiga tahun berlalu, masalah pengeluaran kayu getah ini masih tergantung. Kita mengharapkan akan ada penyelesaiannya dalam perjumpaan hari ini.
“Bagaimanapun, pihak Felcra Berhad mahu mengangkat aduan dan memorandum ini kepada menteri untuk mendapatkan kata putusnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















