KUALA LUMPUR – Projek menebang dan mengeluarkan pokok getah Peserta Rancangan Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh, Kelantan dibuat mengikut prosedur ditetapkan.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Hal Ehwal Peserta dan Komunikasi Felcra Berhad, Mohammad Ab. Rahman, tender terbuka yang tidak dipersetujui peserta terbabit belum lagi dibuka kepada umum.
Kata beliau, seperti biasa jika ada ladang getah yang tidak lagi mengeluarkan susu getah, pihaknya akan mendapatkan kelulusan di peringkat jawatankuasa tender untuk menebang dan mengeluarkan kayu berkenaan.
Namun, disebabkan ada bantahan dari peserta Rancangan Felcra Teratak Batu, yang mahu pengeluaran kayu itu diberikan kepada koperasi, pihaknya akan membawa kes itu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun untuk mendapatkan keputusan.

“Hari ini kita menerima kunjungan seramai 40 peserta Rancangan Felcra Teratak Batu yang menyatakan bantahan mereka supaya membatalkan tender terbuka bagi pengeluaran pokok getah di ladang Cabang Tongkat.
“Mereka mahu projek itu diserahkan secara runding terus kepada Koperasi Peserta Rancangan (KPR) Teratak Batu untuk usahakan.
“Memandangkan jawatankuasa tender yang kita namakan Jawatankuasa Tender A sudah bermesyuarat mengenai proses pengeluaran dan penjualan pokok getah di ladang ini, kita akan merujuk perkara ini kepada menteri petang ini,” katanya ketika ditemui di Wisma Felcra di sini, hari ini.
Pagi tadi, Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor menerima memorandum bantahan berhubung tender terbuka bagi pengeluaran dan penjualan pokok getah dari 40 peserta Rancangan Felcra Teratak Batu, Pasir Mas.
Rombongan 40 peserta itu, yang tiba di wisma berkenaan dari Pasir Puteh, Kelantan disambut oleh pihak pengurusan Felcra Berhad dan memberi jaminan akan memberi perhatian di atas tuntutan berkenaan.

Pengerusi Koperasi Peserta FELCRA Teratak Batu Pasir Putih, Saroji Mokthar, 73 (tengah) bersama peserta menunjukkan poster bantahan pada penyerahan memorandum bantahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA di Wisma FELCRA, Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 DISEMBER 2019Mengulas lanjut mengenai usaha Felcra Berhad, Mohammad berkata, mesyuarat jawatankuasa tender diadakan bagi mendapatkan harga paling tinggi.
“Sesiapa saja yang dapat kontrak itu, kalau harganya terbaik, nilai yang diperolehi itu hasil jualan kayu getah itu akan dipulangkan kepada peserta untuk sara hidup mereka.
“Kontraktor akan pulangkan semua nilai kayu itu kepada peserta, tetapi apa yang peserta mahu ialah kontrak menebang dan mengeluarkan pokok getah ini diberikan terus kepada koperasi mereka.
“Itulah sebab mereka datang hari ini untuk meluahkan dan menyerahkan surat permohonan bagi pihak koperasi,” katanya.
Kata beliau, pihaknya positif dengan tuntutan peserta asalkan ianya memberikan manfaat kepada mereka. – MalaysiaGazette
















