KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan e-dagang Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) mengaku tidak bersalah ke atas tiga pertuduhan meminta suapan wang rasuah berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) bernilai RM87,000 di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Jalan Duta pagi ini.

Mohd Iskandar King, 42, kelihatan tenang ketika kesemua tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sesyen Azura Alwi.

Mengikut fakta kes, Iskandar didakwa telah menerima wang tunai sebanyak RM50,000 sebagai balasan daripada Mohd Azuzi Mohamed Kamil yang merupakan pengarah Syarikat Golden Sunrise Ventures Sdn.Bhd dan Pakar Runding Syarikat OCK Setia Engineering Sdn. Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di restoran Starbucks Coffee Ground Floor, IOI City Mall, Putrajaya pada 9 Januari 2019 lalu.

Pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dalam pertuduhan keduanya bertarikh pada 23 Jun 2015 bertempat di Bukit Jalil Golf and Country Resorts Jalan Jalil Perkasa, Kuala Lumpur turut didakwa menggunakan jawatan yang sama menerima sekeping cek tunai CIMB bernilai RM18,500 atas nama isterinya, Nur Ellina Abdul Sukor daripada Aziz.

Pertuduhan ini mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan ketiganya Mohd Iskandar juga didakwa menerima cek tunai CIMB berjumlah RM18,500 daripada individu dan syarikat yang sama serta pada tarikh dan tempat yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM DPP Siti Nor Hafizan Zakaria.

Hakim Azura telah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan wang berjumlah RM20,000 dan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai serta diwajibkan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Sivahnanthan Ragava

Peguam tertuduh, Sivahnanthan Ragava merayu supaya jumlah wang jaminan dikurangkan tanpa mewajibkan anak guamnya menyerahkan pasport antarabangsa dan melapor diri di SPRM setiap bulan.

“Yang Arif, tertuduh berusia 42 tahun, bekerja sebagai Timbalan Pengarah di MCMC berpenyakit bronkitis dan mempunyai tanggungan pelajaran untuk anak kembarnya berumur 6 tahun.

“Sejak direman pada 9 Januari lalu sehingga sekarang tertuduh tidak pernah gagal menghadirkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan dan bekerjasama dalam siasatan kes berkenaan tanpa cuba melarikan diri.

“Tertuduh juga berjanji akan hadir untuk setiap perbicaraan kes nanti tanpa gagal dan merayu jumlah jaminan dikurangkan serendah mungkin tanpa mewajibkan syarat menyerahkan pasport serta tampil ke SPRM,” katanya.

Bagaimanapun, selepas meneliti hujah berkenaan Azura mengekalkan keputusan asalnya kecuali mengeluarkan syarat tertuduh perlu tampil lapor diri di SPRM setiap bulan dan menetapkan tarikh 16 Januari 2020 untuk penyerahan dokumen pengurusan kes.

Pada 10 Januari lalu, Majistret membenarkan permohonan SPRM menahan reman empat hari ke atas Iskandar dan seorang lagi individu bernama Jagjeet Singh seorang pekerja swasta untuk disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana disyaki terlibat dalam penerimaan suapan berkaitan kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) bernilai RM270,000.

Menurut sumber, suspek berkenaan ditahan SPRM di pusat beli-belah sekitar Putrajaya ketika menerima baki wang tunai berjumlah RM50,000 iaitu baki jumlah yang sepatutnya diterima olehnya.

Sumber berkata, suspek didakwa menerima wang suapan itu secara berperingkat sejak 2015 oleh syarikat terbabit sebagai ganjaran kerana menganugerahkan projek berkenaan.

USP adalah satu usaha kerajaan dalam memperluas jaringan komunikasi dan multimedia, khususnya bagi kawasan dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan.-MalaysiaGazette