Khazanah Nasional
Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan mengumumkan pengendali perkhidmatan e-dompet bagi inisiatif e-Tunai Rakyat pada Januari 2020.

Melalui inisiatif e-Tunai Rakyat, warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, yang berpendapatan tahunan kurang daripada RM100,000, layak menerima RM30 setiap seorang bagi dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan yang tersedia melalui pengendali perkhidmatan e-dompet terpilih.

Selain itu, pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih juga merancang untuk menawarkan insentif tambahan bagi menggalakkan penggunaan sepanjang tempoh dua bulan inisiatif ini dilaksanakan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, maklumat lanjut tentang cara memohon serta terma dan syarat penggunaannya akan dimaklumkan oleh Khazanah dan pengendali perkhidmatan -e-dompet yang dipilih dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Guan Eng memaklumkan persiapan akhir bagi pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat sedang giat dijalankan dan bakal dilancarkan awal tahun depan.

Program rangsangan digital berjumlah RM450 juta ini telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan 2020 dan bertujuan untuk menggalakkan penggunaan e-dompet dan pembayaran digital dalam kalangan
pengguna dan pedagang tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit.

Kementerian Kewangan telah melantik Khazanah untuk memudah serta menyelaraskan pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat yang melibatkan kerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kerja-kerja pelaksanaan yang diselaraskan oleh Khazanah ini merupakan usaha komprehensif bagi memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat ini  dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan serta menerapkan ciri-ciri keselamatan untuk pengguna.

Antara lain, kerja-kerja pelaksanaan ini merangkumi usaha membangun mekanisme serta proses dan prosedur yang diperlukan oleh inisiatif ini.

Khazanah juga bertanggungjawab ke atas pemilihan pengendali perkhidmatan e-dompet yang secara kolektif menyediakan platform sedia ada yang mempunyai jumlah pengguna aktif sedia yang besar serta rangkaian pedagang yang luas untuk inisiatif e-Tunai Rakyat. – MalaysiaGazette