Jurgen Klopp

DOHA – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp teruja mengharungi ‘perlawanan yang benar-benar sukar’ di final Piala Dunia Kelab menentang Flamengo selepas jaringan lewat Roberto Firmino menghadiahkan kemenangan 2-1 buat juara Eropah itu ke atas kelab Mexico, Monterrey awal pagi tadi.

Aksi bermula baik buat anak buah Klopp itu dengan Naby Keita memberikan jaringan awal, menggembirakan penyokong di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Naby Keita meletakkan Liverpool mendahului pada minit ke-11 tetapi ia disamakan oleh Monterrey menerusi penyerang Argentina, Rogelio Funes Mori selang tiga minit.

Namun, ketika perlawanan memasuki minit pertama dalam tiga minit masa kecederaan dan kemungkinan beraksi di masa tambahan, Firmino segera menyambut hantaran Trent Alexander-Arnold untuk jaringan jarak dekat ke gawang dan membawa kelab Anfield itu ke peringkat seterusnya.

Selepas mengharungi jadual perlawanan padat di Liga Perdana sebelum ke Qatar, kemenangan ke atas Monterrey jelas melegakan, dengan skuad kendalian Klopp kekal pada landasan untuk menjulang trofi Piala Dunia Kelab buat kali pertama.

Pengendali dari Jerman itu turut berharap tonggak pertahanannya Virgil Van Dijk akan kembali cergas selepas pemain Belanda itu tidak disenaraikan menentang Monterrey susulan masalah kesihatan dengan kapten, Jordan Henderson bergandingan dengan Joe Gomez bagi mengawal bahagian pertahanan.

Selain itu, Klopp turut memilih untuk menyenaraikan Sadio Mane di bangku simpanan bersama Firmino dan Alexander-Arnold dan meletakkan Adam Lallana, Xherdan Shaqiri dan Divock Origi dalam kesebelasan utama. – MalaysiaGazette