Semua restoran McDonald's di Peru ditutup untuk siasatan dan pemeriksaan selepas dua pekerjanya maut terkena renjatan elektrik. foto Agensi

LIMA – Kesemua 29 cawangan McDonald’s di Peru akan ditutup sehingga pengendalinya, Arcos Dorados Holdings Inc. menyelesaikan pemeriksaan susulan kematian dua pekerjanya pada hujung minggu lalu.

Arcos Dorados, yang memiliki dan mengendalikan restoran McDonald di seluruh Amerika Latin itu berkata, pihaknya sudah mula menjalankan pemeriksaan keselamatan pada hari Rabu selepas tempoh berkabung selama dua hari.

Pemeriksaan itu akan mengambil masa ‘berjam-jam atau berhari-hari,” kata jurucakap syarikat itu.

Terdahulu pada Rabu, pejabat pendakwa Peru berkata, ia sedang menyiasat kematian dua pekerja restoran berjenama McDonald’s di Lima.

Insiden itu telah menyebabkan bantahan besar-besaran terhadap restoran makanan segera gergasi itu.

Dua pekerja restoran tersebut, Alexandra Porras, 18, dan Carlos Campo, 19, maut terkena renjatan elektrik pada hari Ahad di Pueblo Libre, sebuah daerah di ibu kota ketika membersihkan dapur.

Arcos Dorados dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu sangat sedih atas kematian pekerja-pekerjanya dan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan.

Kes itu turut disiasat oleh Kementerian Buruh.

Kematian dua remaja itu mencetuskan kemarahan ramai dan wujud pendedahan bekas-bekas pekerja di McDonald’s melalui media sosial yang mendakwa tahap keselamatan di restoran berkenaan tidak selamat, gaji rendah dan tidak dibayar digaji. – MalaysiaGazette