Rusia akan merayu terhadap penggantungan empat tahun daripada menyertai sukan besar termasuk Olimpik Tokyo 2020 kerana disabitkan kesalahan terlibat skandal doping oleh WADA

MOSCOW – Rusia akan merayu terhadap keputusan penggantungan selama empat tahun dalam semua acara sukan terbesar yang dikenakan terhadapnya.

Agensi Anti-Doping Rusia (Rusada) mendakwa pihaknya tidak bersetuju dengan hukuman berkenaan yang dijatuhkan oleh Agensi Anti Doping Sedunia (WADA) yang dianggap keputusan tidak adil.

Penggantungan itu bermakna benda Rusia dan lagu kebangsaannya tidak akan dibenarkan di sukan temasya utama dunia iaitu Olimpik Tokyo 2020 dan Paralimpik serta Piala Dunia Qatar 2022.

Rusada berkata pihaknya akan menyediakan sepucuk surat penjelasan untuk WADA mewakili presiden Vladimir Putin dalam masa 10 hingga 15 hari lagi.

“Kami akan berdepan dengan mahkamah WADA dan situasi akan berkembang dalam lapangan undang-undang untuk kami membuktikan keadilan di pihak kami,” kata Ketua Badan Penyelia Rusada Alexander Ivlev.

Jawatankuasa Eksekutif WADA telah membuat keputusan sebulat suara untuk menguatkuasakan penggantungan terhadap Rusia dalam satu mesyuarat di Lausanne, Switzerland minggu lalu.

Hasil siasatan mereka mendapati Rusada bersalah memanipulasikan data makmal yang dirujuk untuk siasatan pada Januari 2019 dalam isu skandal doping.

Putin sebelum ini menegaskan, kerajaannya membuat keputusan untu merayu terhadap keputusan WADA.

Presiden WADA, Sir Craig Reedie berkata, keputusan itu menunjukkan keseriusan pihaknya dalam bertindak tegas menangani krisis doping di Rusia.

Bagaimanapun Naib Presidennya, Linda Helleland mendakwa hukuman penggantungan selama empat tahun ke atas Rusia tidak cukup berat dan ia juga dikritik badan doping negara-negara lain.

Mana-mana atlet Rusia yang boleh membuktikan mereka tidak dipengaruhi skandal doping mampu menyertai temasya sukan dibawah bendera neutral.

Secara keseluruhannya seramai 168 atlet Rusia telah mengambil bahagian dibawah bendera neutral pada Olimpik musim sejuk 2018 di Pyeongchang.- MalaysiaGazette